Peniaga bazar dinasihat patuh syariat Ramadan

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengingatkan para peniaga Bazar Ramadan agar mematuhi syariat Islam serta peraturan yang ditetapkan sepanjang bulan itu bagi memastikan kelancaran operasi dan kesejahteraan masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kerajaan negeri telah meluluskan pengoperasian Bazar Ramadan di beberapa lokasi terpilih bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

“Para peniaga diingatkan supaya tidak menyewakan tapak jualan kepada pihak ketiga kerana ia boleh menyebabkan pembatalan lesen serta tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan makanan, selain menyarankan lebihan makanan disedekahkan kepada golongan memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru masyarakat agar menjaga solat, menutup aurat, dan mengamalkan adab pergaulan yang baik sepanjang bulan Ramadan demi kesejahteraan bersama.

Sebanyak empat tapak Bazar Ramadan disediakan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) iaitu di tapak pasar malam Kangar (119 lot), Taman Kemajuan (71 lot), tapak pasar malam Arau (220 lot), dan tapak pasar malam Kuala Perlis (45 lot).

Selain itu, tujuh lokasi bazar yang diselia oleh agensi luar atau swasta turut dibenarkan beroperasi, antaranya di Mata Ayer (25 lot), Dataran Persiaran Wawasan (300 lot), perkarangan Masjid Muhammadiah Kampung Guar Gajah (20 lot) dan beberapa lokasi lain. – HARAKAHDAILY 1/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!