Integrasi dan asimilasi: perlukah Malaysia berubah?

Perpaduan masih menjadi isu yang perlu ditangani hingga kini.
- Advertisement -

Sudah 68 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan daripada penjajahan kolonial British. Perjuangan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman telah berjaya menyatukan masyarakat majmuk di negara ini. Namun, kesan legasi kolonial masih terasa hingga ke hari ini.

Walaupun ada yang berpendapat bahawa elemen kolonialisme tidak akan mengancam keamanan dan kesejahteraan negara, realitinya, impaknya masih jelas kelihatan. Sebahagian masyarakat masih terbelenggu dengan prasangka, kebencian, serta ketidakfahaman terhadap agama dan budaya, walaupun kita hidup di bawah satu bumbung yang sama.

- Advertisement -

Adakah kemakmuran dan kesenangan yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu masih tidak mencukupi? Atau masih ada yang lebih setia kepada tanah asing, sedangkan darah mereka mengalir dari bumi Malaysia yang tercinta ini?

Di Malaysia, pendekatan integrasi telah lama diamalkan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Integrasi merujuk kepada proses di mana kumpulan etnik hidup bersama tetapi masih mengekalkan identiti budaya masing-masing. Berbeza dengan asimilasi, yang melibatkan penyerapan kumpulan minoriti ke dalam budaya dominan.

Walaupun pelaksanaan asimilasi secara menyeluruh mungkin sukar, ia boleh dilaksanakan secara beransur-ansur dan selektif untuk meningkatkan semangat kekitaan dan mengurangkan keterikatan dengan negara asal nenek moyang.

Pendekatan integrasi yang diamalkan selama ini ternyata kurang berkesan dalam menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia. Walaupun terdapat perbezaan identiti dan budaya, pendekatan asimilasi boleh menjadi langkah ke hadapan untuk mewujudkan perpaduan yang lebih kukuh. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menerapkan unsur asimilasi:

Meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan

Bahasa Melayu perlu dioptimumkan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua aspek kehidupan. Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Iklan di media massa, sama ada di televisyen, akhbar, atau media sosial, sering kali tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Malah, dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, penggunaan bahasa Melayu tidak konsisten, apatah lagi dalam kalangan masyarakat Cina dan India. Perkara ini diperkuatkan dengan kenyataan yang diberikan oleh Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM yang mana beliau mengatakan antara sebab mengapa Bahasa Melayu tidak digunakan sepenuhnya disebabkan oleh sikap warganegara yang tidak positif terhadap bahasa negara kita dan sikap ini dapat dilihat daripada segi pemikiran mereka bahawa bahasa Melayu itu tidak penting.

Di peringkat parlimen, terdapat pemimpin yang masih tidak fasih berbahasa Melayu walaupun telah lama menetap di Malaysia. Lebih membimbangkan, ada ahli parlimen yang mencadangkan pemerkasaan bahasa Tamil dalam media digital. Jika pemimpin sendiri tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu, bagaimana rakyat biasa akan menghargainya? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya dipandang enteng.

Memupuk identiti kebangsaan dalam budaya dan gaya hidup

Identiti kebangsaan merangkumi pelbagai aspek seperti bahasa, makanan, pakaian, seni bina dan sebagainya. Aspek-aspek ini perlu dipromosikan secara lebih giat untuk mencerminkan nilai inklusif dalam budaya kebangsaan kita. Sejarah Malaysia, khususnya, perlu diberikan penekanan yang lebih bukan sahaja di sekolah kebangsaan, tetapi juga di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Kriteria pembelajaran sejarah perlu dinilai semula agar ia tidak sekadar menjadi subjek instrumental untuk lulus peperiksaan. Jika warisan budaya kita terancam akibat pembangunan dan pemodenan, kita perlu bangkit bersama untuk mempertahankannya. Tanpa identiti budaya, apa lagi yang tinggal untuk kita di negara ini? Jangan terkejut jika generasi akan datang tidak lagi mengenali asal usul mereka dan hilang pegangan identiti di tanah sendiri.

Memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia

Malaysia telah melahirkan ramai ikon yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari pelbagai etnik. Mereka adalah contoh teladan yang perlu diikuti oleh generasi muda. Namun, terdapat juga figura-figura yang tidak sepatutnya mendapat tempat dalam masyarakat kerana kandungan yang mereka hasilkan bertentangan dengan norma dan nilai Malaysia. Sebagai contoh, terdapat figura yang memaparkan pakaian yang tidak sesuai dengan jantina asal mereka di Anugerah Juara Lagu ke-39.

Fenomena ini jelas bertentangan dengan nilai agama dan budaya masyarakat kita. Mujurlah, kerajaan akan mengaktifkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk pelajar lepasan SPM. Program seumpama ini dapat memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kerajaan juga perlu mempromosikan lebih banyak program yang menyokong semangat kecintaan terhadap negara.

Secara kesimpulannya, kita perlu menilai semula kejayaan kita dalam membentuk generasi masa kini. Pendekatan asimilasi mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi elemennya boleh diterapkan secara inklusif dan harmoni. Setiap rakyat harus merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada Malaysia tanpa kehilangan identiti asal secara paksa. Nilai patriotisme dan nasionalisme perlu diterapkan dengan lebih berkesan selaras dengan arus pemodenan.

Pemimpin negara perlu menunjukkan teladan yang lebih profesional, tanpa mengira latar belakang politik. Agenda utama adalah mengekalkan identiti, warisan, dan budaya dalam masyarakat majmuk untuk mewujudkan perpaduan sejati, selari dengan rangkap kedua lagu Negaraku: “Tanah tumpahnya darahku.”

Rahimey Rahman
Pelajar Sarjana Sains Sosial
Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!