KOTA BHARU: Kedudukannya yang berhampiran sempadan serta sensitiviti rakyat, antara faktor utama Kelantan tersenarai sebagai negeri ketiga tertinggi dalam kes penyalahgunaan dadah tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad berkata, situasi sama turut berlaku di seluruh negara biarpun dilihat Kelantan ketiga tertinggi dengan perbezaan jumlah kes yang tidak ketara.
“Kelantan paling hampir dengan sempadan, jadi lebih mudah untuk penyeludup membawa masuk bekalan.
“Selain itu, rakyat negeri ini juga lebih sensitif, jadi lebih banyak kes dilaporkan pada pihak berkuasa menyebabkan tangkapan dan serbuan kerap dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) 2025 yang diadakan di Jewels Hotel, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Kemudi, Yatimin Abdullah.
Menurut Zamakhsari, statistik tahun lalu menunjukkan Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 21,385 kes, diikuti Johor (18,707 kes) dan Kelantan (18,507 kes).
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan percaya usaha pihak berkuasa menutup laluan haram di sempadan sejak 1 Disember lalu akan membantu mengurangkan jenayah berkaitan dadah.
Zamakshari berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pasukan keselamatan bagi memperkasakan Pemadam di peringkat negeri.
“Antara yang akan dibincangkan termasuk sasaran pengurangan kadar penyalahgunaan dadah, misalnya pengurangan 10 peratus dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya kini dalam usaha melantik Setiausaha Kerja sepenuh masa bagi memastikan gerak kerja lebih efektif berbanding sebelum ini yang dilaksanakan secara separuh masa. – *HARAKAHDAILY 1/3/2025*
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!