
KUANTAN: Sultan Pahang berani menegur pemerintah supaya berlaku adil, termasuk memberi peruntukan yang sama kepada pembangkang.
Pengerusi Sekretariat Gerakan Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat berkata,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibn Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah juga meminta pembangkang memberikan teguran yang membina..
“Ini menunjukkan betapa hebat keterbukaan Tuanku yang kita lihat, rakyat bertambah kasih. Bukan hanya rakyat yang menyokong pemerintah, malah rakyat yang duduk dalam pembangkang juga adalah rakyat Tuanku.
“Walaupun kadang-kadang badan bukan kerajaan (NGO) mengkritik dasar kerajaan, bukan bermakna kita benci atau kita bukan rakyat negeri Pahang. Kita mengkritik untuk membetulkan kerana ia tanggungjawab agama.
“Seperti disebutkan Tuanku, walaupun ditegur oleh pembangkang kita perlu terima kerana teguran yang baik maknanya kehadiran pembangkang menjadi penambahbaikan kepada pembangunan sebuah negara,” katanya di program Himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 di sini.
Program itu adalah manifestasi kepada penyatuan rakyat Pahang yang bernaung Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibn Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri.
Program bermula pada jam 7 malam di Masjid Negeri dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa selamat serta solat Isya.
Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali – HARAKAHDAILY 28/2/2025.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!