Ramadan: Jualan makanan selepas jam 3 petang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua peniaga yang terlibat dengan Bazar Ramadan tahun ini adalah diingatkan agar mematuhi peraturan serta garis panduan telah ditetapkan pihak berkuasa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, para peniaga perlu mendapatkan suntikan tifoid dan mengikuti kursus penyediaan makanan.

Selain itu, peniaga juga katanya, perlu sentiasa berpakaian kemas, bersih, memakai apron dan tutup kepala, menjaga kebersihan persekitaran dan dilarang membuang sampah merata-rata.

“Garis panduan dan peraturan telahpun dikeluarkan oleh pihak kesihatan dan Majlis Daerah juga telah membuat taklimat kepada para peniaga,” katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Mansor juga menegaskan, tapak niaga Bazar Ramadan itu juga, tidak dibenarkan bertukar tangan kepada pihak lain khususnya warga asing.

Tegasnya, peniaga yang melanggar peraturan itu akan diambil tindakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); lesen dan permit berniaga akan dirampas dan tapak niaga akan diserahkan kepada orang lain.

Sementara katanya lagi, sepanjang bulan Ramadan ini, semua premis perniagaan makanan yang dikendalikan oleh orang Islam, hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang.

“Peraturan ini juga tertakluk kepada kedai-kedai ‘francais’ walaupun tidak terikat dengan peraturan PBT. Jual makan kepada orang Islam hanya dibenarkan bermula jam 3 petang sepanjang Ramadan ini.

“Tetapi peraturan ini tidak tertakluk kepada restoren atau kedai makan bukan Islam,” jelas beliau.

Seperkara lagi, pihak penganjur Ekspo Raya atau Karnival Raya katanya, perlu mengambil perhatian, di mana sebarang konsert hiburan melampau tidak dibenarkan diadakan terutama di 10 hari terakhir bulan Ramadan.

“Berniaga cara elok. Tidak perlulah jemput artis adakan konsert nak tarik pengunjung sehingga mencemar kesucian Ramadan. Biarlah rezeki yang diperolehi manfaat dan berkat.

“(Pada) 10 malam terakhir ini, kita perlu lebihkan amal ibadat, mohon keampunan Allah dan pelepasan dari api neraka. Kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan kepada pihak penganjur Ekspo Raya atau Karnival Raya yang bertindak keterlaluan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu juga turut menyangkal dakwaan pihak tertentu, kononnya kadar sewa bazar Ramadan di Kedah pada tahun ini mahal.

Kata beliau, di semua tempat yang dikendalikan Majlis Daerah dan PBT, kadar sewa di kebanyakan tempat antara RM150 ke RM350 sebulan, sementara di beberapa tempat sahaja sekitar RM400 sebulan.

“Kalau peniaga sewa tapak bersama khemah, harga berbeza sikitlah berbanding sewa tapak sahaja. Ada juga yang sewa dua tapak bersekali khemah, jadi kena bayar ‘double’.

“Cuma sewa tapak bazar Ramadan di Wisma Ria, Sungai Petani, yang tu saja yang agak tinggi sedikit iaitu RM600 sebulan,” jelasnya.

Sementara berkaitan kadar sewa tapak niaga di karnival jualan kata beliau, perkara itu di luar bidang kuasa PBT kerana ia diurus sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Semua yang berkaitan seperti bekalan eletrik, air, khemah, pengurusan sampah dan lain-lain diurus oleh pihak penganjur dan kadar sewa tapak atau khemah niaga juga adalah di bawah pengurusan penganjur,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!