NEW DELHI: Laporan sebuah firma dana urusa niaga India mendedahkan bahawa daripada 1.4 bilion penduduk negara itu, kira-kira satu bilion penduduk tidak mempunyai cukup wang untuk membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan.
Mengikut laporan Blume Ventures, juimlah penduduk yang mampu berbelanja hanya antara 130 hingga 140 juta orang. Sebanyak 300 juta lagi tergolong dalam kategori pengguna “sedang meningkat” atau “bercita-cita tinggi,” namun mereka adalah pembeli yang berhati-hati.
Menurut laporan itu juga, kelas pengguna dalam ekonomi ketiga terbesar Asia ini tidak begitu meluas tetapi lebih kepada ‘mendalam’.
Ini bermakna populasi kaya di India tidak benar-benar berkembang dari segi bilangan, namun mereka yang kaya menjadi lebih kaya.
Keadaan ini membentuk pasaran pengguna negara itu dengan cara yang berbeza, terutama mempercepatkan trend “premiumisasi” dengan jenama memacu pertumbuhan, iaitu tumpuan kepada produk mewah untuk memenuhi keperluan golongan berada, berbanding produk untuk pasaran massa.
Trend ini jelas dilihat melalui lonjakan jualan perumahan berpagar mewah melampau dan telefon pintar premium. Pada masa sama, barangan yang ditawarkan dengan harga lebih rendah bergelut untuk mendapat sambutan.
Rumah mampu milik kini hanya merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan pasaran hartanah India berbanding 40 peratus lima tahun lalu.
Bagaimanapun, barangan berjenama semakin menguasai bahagian pasaran. Malah, “ekonomi gaya hidup” turut berkembang pesat, dengan tiket mahal untuk konsert artis antarabangsa seperti Coldplay dan Ed Sheeran laris terjual.
Syarikat yang menyesuaikan diri dengan perubahan ini berkembang maju, Sajith Pai, seorang pengarang laporan itu, memberitahu BBC.
“Mereka yang terlalu fokus pada hujung pasaran massa atau mempunyai campuran produk yang tidak menyentuh segmen premium telah kehilangan bahagian pasaran.”
Penemuan laporan itu menguatkan pandangan lama bahawa pemulihan ekonomi India berbentuk K – orang kaya menjadi lebih kaya, manakala orang miskin kehilangan kuasa beli.
Malah, ini menjadi trend struktur jangka panjang yang bermula sebelum wabak. India telah menjadi semakin tidak sama rata, dengan 10 peratus pendudukIndia kini memegang 57.7 peratus pendapatan negara berbanding 34 peratus pada tahun 1990. – BBC NEWS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!