KHALIFAH: Himpun pemimpin siswa anak Kedah

Bersama realisasikan agenda The Greater Kedah

- Advertisement -

KUBANG PASU: Agenda The Greater Kedah terus diperkukuhkan dengan penglibatan anak-anak muda sebagai generasi yang akan membangunkan kemajuan negeri ini untuk masa akan datang.

- Advertisement -

Justeru, Holistic Leadership and Integrity For Aspiring Higher Achievers atau singkatannya KHALIFAH, merupakan usaha telah dirancang untuk mendekatkan serta melibatkan peranan golongan itu bersama kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kerajaan negeri memerlukan pemimpin berwibawa yang mampu menjana kepada kemajuan negeri dan tidak hanya sekadar berperanan sebagai ketua semata-mata.

KHALIFAH kata beliau, merupakan satu program yang bukan sahaja membina kebolehan peserta, tetapi juga menanam rasa bertanggungjawab menjadikan agenda The Greater Kedah itu satu tekad demi kebaikan bersama.

Terdahulu, beliau merasmikan KHALIFAH di Kem Paya Pahlawan, Jitra melibatkan 120 peserta dalam kalangan pemimpin mahasiswa anak Kedah daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia, yang diadakan bermula 25 Februari dan berakhir semalam.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3,000 kepada setiap persatuan anak negeri Kedah, sama ada di Universiti Awam Malaysia, termasuk universiti yang terpilih untuk menjayakan program tersebut.

Usaha itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan tersebut sebagai persiapan kepimpinan negeri mahupun negara pada masa depan.

Insentif lebih daripada peruntukan ditetapkan akan diberikan kepada mana-mana persatuan yang berjaya menyediakan kertas kerja menarik dan berkesan bagi mencapai hasrat kerajaan negeri.

KHALIFAH juga bermatlamatkan melahirkan pemimpin muda yang berintegriti, berdaya saing serta bersedia menggalas amanah dalam membangunkan negeri dan negara.

Malah harapan kerajaan negeri sendiri untuk membina kepimpinan bersifat holistik yang bukan sahaja bijak memimpin, tetapi juga keteguhan akhlak dan nilai murni dalam setiap tindakan.

Oleh itu Dr Haim mewakili kerajaan negeri, berharap para peserta akan memberi sepenuh komitmen untuk membolehkan program KHALIFAH itu akan mencapai objektif yang dihasratkan. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!