Ramadan: Kerja setengah hari pada Jumaat

Untuk penjawat awam negeri Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan waktu bekerja setengah hari pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan bagi penjawat awam di negeri itu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan tersebut dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada 26 Februari kelmarin sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan penjawat awam.

“Mesyuarat telah memutuskan supaya waktu bekerja bagi penjawat awam di negeri Perlis pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini adalah bermula pada jam 8 pagi sehingga 12:30 tengah hari.

“Susulan keputusan ini, Waktu Bekerja Fleksi Bulan Ramadan bagi penjawat awam akan dilaksanakan iaitu jika masuk kerja pada jam 8 pagi, waktu pulang adalah jam 3  petang.

“Jika masuk kerja pada jam 8:30 pagi, waktu pulang adalah jam 3:30 petang, jika masuk kerja pada jam 9 pagi, waktu pulang adalah jam 4 petang,” katanya.

ADUN Sanglang itu berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Namun begitu ujarnya, Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan perkhidmatan, termasuk kaunter kerajaan, berjalan lancar dan tidak terjejas sepanjang Ramadan.

“Semua Ketua Jabatan juga hendaklah membuat pemakluman berhubung waktu perkhidmatan kaunter bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada para pelanggan,” tambahnya.

Beliau turut berharap inisiatif ini dimanfaatkan untuk meningkatkan ibadah sepanjang bulan mulia ini.

“Keistimewaan pulang awal pada hari Jumaat ini hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan kita bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT.

“Kita perlu bersikap profesional dan bertoleransi dalam urusan kerja. Jika ada perkara yang menimbulkan kemusykilan, rujuklah kepada individu yang lebih berautoriti tanpa membuat penilaian semberono,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!