Isu beras: Menteri pagar kartel makan padi rakyat?

- Advertisement -

KUANTAN: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mendedahkan bahawa hampir 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji telah dicampur dengan beras putih tempatan (BPT).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, kerajaan gagal menangani isu kartel beras yang dipercayai mencampurkan beras import dengan BPT sebelum dijual pada harga premium kepada pengguna.

“Hakikat yang lebih mengejutkan adalah bagaimana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu secara terang-terangan menafikan perkara ini di Parlimen.

“Beliau menyatakan menyatakan ‘tiada bukti’ sedangkan bukti saintifik telah jelas terpampang di hadapan mata beliau. Penipuan ini bukan sekadar isu kualiti, tetapi ia adalah satu pengkhianatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Bayangkan, beras tempatan yang sepatutnya dijual dengan harga bersubsidi kepada rakyat, kini diselewengkan oleh kartel-kartel beras yang tidak bermoral, dicampur dengan beras import dan dijual pada harga premium,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, hari ini.

Aireroshairi berkata, rakyat kini bersusah payah menghadapi kenaikan kos sara hidup, namun kartel itu tetap mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menipu pengguna secara sistematik.

“Seperti kata pepatah Melayu, ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’.. kementerian yang sepatutnya melindungi kepentingan rakyat kini menjadi ‘pagar’ yang membenarkan ‘padi’ rakyat dimakan oleh kartel.

“Sebenarnya, rakyat sudah lama tahu wujudnya permainan kotor dalam industri beras negara,” katanya.

Beliau berkata, isu beras ini bukan sesuatu yang baharu kerana rakyat telah lama merungut mengenai kualiti beras tidak konsisten, bekalan sering terputus, serta harga semakin meningkat tanpa kawalan.

“Di pasar-pasar, di kedai-kedai runcit, rakyat biasa sudah lama berbisik tentang kualiti beras yang tidak konsisten tentang bekalan yang sering terputus, dan tentang harga yang tidak masuk akal.

“Apa yang mengejutkan bukanlah pendedahan MARDI, tetapi betapa lamanya kerajaan mengambil masa untuk mengakui apa yang rakyat sudah tahu sejak sekian lama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keperluan kerajaan menunggu kajian rasmi sebelum bertindak, sedangkan aduan rakyat telah berlarutan sejak sekian lama.

“Kelembapan kerajaan dalam mengambil tindakan tegas terhadap kartel-kartel beras ini sangat mencurigakan. Mengapa hanya sekadar siasatan dan kajian yang berterusan tanpa tindakan konkrit?

“Apabila sesuatu yang begitu jelas dibiarkan berterusan, rakyat mula bertanya-tanya, adakah wujud kepentingan tertentu yang sedang dilindungi? Adakah ada tangan ghaib yang menghalang tindakan tegas?

“Seperti kata pepatah, ‘bila air tenang, jangan sangka tiada buaya’. Kelembapan yang mencurigakan ini memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam ekosistem pengurusan beras negara,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu ibarat satu teater yang menyedihkan kerana di hadapan rakyat, pemimpin kerajaan hanya bersilat lidah memberi alasan, sedangkan di belakang tabir, kartel-kartel terus bermaharajalela mengambil kesempatan.

“Malaysia, negara yang kaya dengan sawah padi, kini terpaksa berdepan dengan isu keterjaminan makanan asas kerana kegagalan pengurusan dan kawalan yang tidak berkesan.

“Seperti seorang doktor yang gagal mendiagnosis penyakit yang jelas, kementerian ini terus mencari-cari alasan sementara ‘penyakit’ industri beras semakin parah,” katanya.

Beliau berkata, skandal beras bukan sekadar isu ekonomi, tetapi melibatkan prinsip keadilan dan integriti.

Justeru, beliau menuntut agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam skandal ini, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik mereka.

“Sudah tiba masa untuk perubahan drastik dalam pengurusan industri beras negara, termasuk mempertimbangkan dengan serius cadangan untuk meletakkan urusan padi dan beras di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Ketahuilah wahai pemimpin kerajaan bahawa rakyat sedang mengamati dan timbangan keadilan di akhirat kelak jauh lebih berat daripada timbangan politik di dunia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!