KUALA TERENGGANU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu menggesa kerajaan menilai semula Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) untuk mengelakkan ia dieksploitasi pihak tertentu dan menekan rakyat.
Pengerusi Majlis Politik Negeri GAMIS Terengganu, Muhammad Aiman Mohd Hafiz berkata, undang-undang itu berpotensi dieksploitasi pihak tertentu dan memberi kelebihan kepada pemaju tanpa mempertimbangkan hak pemilik hartanah asal.
“Nilai ambang mesti dikekalkan pada kadar 100 peratus untuk mengelakkan pengambilan hartanah secara paksa buat golongan minoriti yang mungkin tidak bersetuju untuk menyerahkan pemilikan hartanah mereka kepada pemaju. Gentrifikasi pasti akan berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya memikirkan tindakan susulan untuk membantu penduduk asal bukan sahaja sekadar mendapatkan rumah mereka semula, malah membantu mereka menghadapi kenaikan kos sara hidup oleh kerana pembangunan yang sudah pasti berlaku.
“Kriteria pemaju yang dipilih mestilah dinyatakan secara telus kerana pemilikan hartanah ini akan diambil oleh syarikat pemaju melalui kelulusan kerajaan,” katanya.
Justeru, GAMIS Terengganu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas dwipartisan mesti ditubuhkan untuk memilih syarikat pemaju yang berkelayakan untuk memastikan pemilihan adil tanpa kepentingan politik kepartian.
Beliau menyatakan pendirian bahawa mereka tidak menolak pembangunan, tetapi mahu memastikan hak rakyat tidak diabaikan dalam pelaksanaan RUU URA.
“Kepentingan komuniti setempat dan kawalan ketat terhadap kuasa pemaju mesti dipandang serius oleh kerajaan untuk maslahat rakyat,” katanya.
Terdahulu, Pemuda PAS tegas menolak RUU itu kerana dikhuatiri akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosioekonomi, serta menindas hak golongan tertentu, terutama masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan di kawasan bandar.
Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri, berkata undang-undang baharu itu lebih memihak kepada pemaju yang berkepentingan atas nama pembaharuan semula bandar, sekali gus memberi tekanan kepada penduduk yang terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan.
“Kami amat bimbang strategi yang digunakan untuk mengusir penduduk di Palestin satu masa dahulu akan berulang kembali.
“Penduduk asal akan berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya sendiri! Ini seperti satu bentuk penjajahan moden dan ia mesti dihentikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!