PUTATAN: Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Sabah, Dr. Afifi Saifuddin, menekankan pentingnya budaya integriti yang tulus khususnya dalam kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau melihat bahawa isu integriti dalam kepimpinan negeri masih menjadi cabaran yang besar, terutamanya dalam aspek ketelusan, akauntabiliti, dan kecekapan pengurusan sumber negeri.
“Walaupun terdapat usaha untuk menambah baik aspek ini, masih banyak ruang untuk penambahbaikan, khususnya dalam mengurangkan ketirisan, memperkukuhkan tatakelola, dan memastikan dasar yang lebih adil kepada rakyat,” katanya ketika ditemui dalam program ziarah pemimpin tempatan dalam DUN Tanjung Keramat, di sini, kelmarin.
Beliau turut menggesa langkah-langkah proaktif dipertingkat di semua peringkat bagi memperkukuhkan amalan tersebut dalam budaya kepimpinan khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negeri pada masa akan datang.
“Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa harus dilaksanakan tanpa kompromi atau memilih bulu,” ujarnya.
Mengenai isu-isu seperti konflik kepentingan, nepotisme, dan salah guna dana awam, Afifi menyuarakan kebimbangan bahawa amalan-amalan tersebut boleh mencemarkan imej kepimpinan.
Beliau menyatakan kesediaan PAS Sabah untuk bekerjasama dengan semua pihak terutamanya agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mempromosikan budaya integriti di negeri ini.
“Masalah utama kerosakan integriti yang timbul adalah disebabkan oleh segelintir individu yang tamak, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak betul, menyalah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan keluarganya semata-mata.
“Benda ini adalah penyakit yang sangat kronik, yang masih ada dalam kalangan masyarakat kita perlu dirawat jika boleh atau dibuang jika sudah menjadi kanser yang bakal merosakkan negeri ini,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kerjasama antara parti-parti politik, agensi kerajaan, dan masyarakat sivil adalah penting untuk mengatasi cabaran itu dan memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan telus dan berintegriti. – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!