KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk meneliti semula insentif diskaun pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu peminjam, khususnya daripada golongan B40, dalam menyelesaikan hutang pendidikan mereka.
Justeru, Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mempersoalkan bilakah semakan semula insentif diskaun PTPTN akan dibuat serta mekanisme yang digunakan untuk mengklasifikasikan peminjam mengikut kemampuan kewangan.

“PTPTN merupakan suatu bentuk skim pinjaman yang diberikan kepada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran.
“Persoalan saya, bilakah semakan semula insentif diskaun PTPTN akan dibuat?
“Apakah kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti peminjam yang benar-benar tidak mampu membayar balik supaya pengklasifikasian peminjam adalah berdasarkan kemampuan kewangan dan mengikut kategori isi rumah seperti B40 atau M40?” soalnya ketika membahaskan Usul Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menegaskan bahawa golongan B40 dan asnaf mewakili sebahagian besar penerima PTPTN, justeru kelonggaran dalam bentuk penangguhan bayaran atau pelan pembayaran fleksibel perlu terus dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan mereka tidak terbeban.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menjelaskan jumlah individu yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kegagalan pembayaran balik pinjaman PTPTN.
“Akhir sekali, berapakah individu yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran surat peringatan, notis tuntutan dan saman penghakiman atas kegagalan pembayaran balik pinjaman PTPTN mengikut kategori pendapatan dan pecahan kaum setakat ini?” soalnya lagi.
Tegasnya, kerajaan perlu lebih telus dalam pelaksanaan dasar berkaitan PTPTN agar ia benar-benar memberi manfaat kepada peminjam yang memerlukan tanpa membebankan mereka yang kurang berkemampuan. – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!