ALOR SETAR: Penduduk Kedah dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan penyakit berkaitan haba terutama ketika memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengesahkan setakat ini tiada sebarang notifikasi kejadian penyakit berkaitan haba berlaku di negeri ini.
Namun peringatnya, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan mengelak daripada penyakit berkenaan.
“Saya berharap orang ramai dapat merancang aktiviti luar rumah terutama dalam bulan Ramadan ini. Elakkan berada di luar rumah pada waktu puncak cuaca panas iaitu antara 11 pagi hingga 4 petang,” ujarnya.
Kata Mansor lagi, kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari terutamanya kepada yang berpuasa dari waktu berbuka sehingga bersahur.
Selain itu tegasnya, elakkan mengambil minuman manis, berkafein atau berkarbonat, serta memakai pakaian yang selesa dan ringan, di samping elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap.
“Bayi, kanak-kanak dan warga emas antara golongan berisiko tinggi dan perlu minum air secukupnya. Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas.
“Sejukkan diri menggunakan kipas, penyaman udara dan kerap mandi,” nasihat beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil.
Pada 12 Februari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah melaporkan, semua daerah di negeri Kedah mencatatkan suhu maksimum harian hampir mencecah 35 darjah Celsius.
Walau bagaimanapun, melalui pemantau JKNK yang dilakukan bermula dari 1 Januari hingga 18 Februari lalu, mendapati tiada sebarang notifikasi kejadian penyakit berkaitan haba dilaporkan di negeri ini.
Sungguhpun begitu, orang ramai dinasihatkan segera dapatkan rawatan jika mengalami gejala akibat cuaca panas seperti sakit kepala, keletihan, hilang tumpuan, pening, lemah-lemah otot, kekejangan, rasa mual, atau kekeliruan.
Orang ramai boleh merujuk langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat penyakit berkaitan haba dan cuaca panas di laman sesawang KKM (https://www.infosihat.gov.my/cuaca-panas.html).
Sementara, untuk mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di Malaysia, boleh melayari laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/). – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!