KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan sambungan perkhidmatan pengangkutan awam lebih menyeluruh agar tidak hanya tertumpu di bandar utama, kata Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai).
Ini, ujarnya susulan Kerajaan menyasarkan nisbah penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada ketersambungan first and last mile di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperluaskan rangkaian bas dan rel merentas wilayah dan lokaliti.
“Sejauh mana kajian impak dijalankan terhadap kaedah caj kesesakan di bandar-bandar maju lain seperti London, Stockholm dan Milan dengan mengambil kira kesediaan infrastruktur dan pengangkutan awam?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kekurangan bas menyebabkan kadar pemilikan kereta di Lembah Klang antara yang tertinggi di dunia, sedangkan hanya 55 peratus kawasan itu diliputi perkhidmatan rel dan bas.
“Di Lembah Klang, hanya terdapat 0.21 bas bagi setiap 1,000 penduduk, menunjukkan masih banyak kawasan tidak mempunyai akses pengangkutan awam yang mencukupi,” katanya.
Menjawab persoalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan komited mengurangkan kesesakan jalan raya dengan sasaran penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2040.
“Kita ada Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid, dan banyak perkara telah dibincangkan mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya,” katanya.
Azman dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan serta jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 27/2/ 2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!