KUALA LUMPUR: Kebanyakan kemudahan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Tumpat, Kelantan telah dibina sejak 1980-an, namun sehingga kini masih belum menerima naik taraf yang sewajarnya menyebabkan ia gagal berfungsi dengan baik.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menggesa kerajaan menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan KADA yang telah berusia lebih 40 tahun dan tidak lagi ekonomik untuk digunakan.
“Berapakah peruntukan yang diberikan kepada KADA untuk membaik pulih dan menaik taraf prasarana berkaitan dengan sawah padi.
“Oleh kerana ia bukan hanya membantu pesawah, tetapi telah menyebabkan berlaku banjir di kawasan-kawasan yang terbabit,” katanya dalam perbahasan Usul Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sistem pengairan yang tidak lagi berfungsi dengan baik telah menyebabkan banyak sumber air tertutup, sekali gus mengganggu produktiviti pesawah dan mengakibatkan kejadian banjir di kawasan terbabit.
Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk menyediakan peruntukan mencukupi bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana pengairan dan saliran KADA agar sektor pertanian di kawasan itu terus berkembang dan tidak terjejas akibat infrastruktur yang usang. – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!