Bagaimana boleh beroperasi jika defisit makin meningkat

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat agensi Persekutuan yang mengalami defisit namun masih beroperasi seperti biasa.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) menekankan kepentingan meneliti defisit yang dicatatkan oleh beberapa agensi kerajaan serta kesannya terhadap keberkesanan pengurusan kewangan negara.

“Di sini saya nak fokuskan agensi yang mencatatkan kerugian defisit, antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mencatat pendapatan RM2.199 bilion tetapi perbelanjaan RM2.93 bilion, mengakibatkan defisit terbesar sebanyak RM735 juta.

“Prima Korporat juga mencatat defisit sebanyak RM217 juta, Universiti Teknologi MARA (UiTM) RM212 juta, Universiti Malaysia Sabah (UMS) RM141 juta, dan Universiti Putra Malaysia (UPM) RM128 juta.

“Terdapat juga agensi yang mengalami defisit tiga tahun berturut-turut seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Saya mendapati jumlah defisit menurun kepada RM2.01 bilion daripada RM3.64 bilion pada tahun 2022.

“Manakala bilangan agensi pula berkurang daripada 53 pada tahun 2022 kepada 45 pada tahun 2023. Saya nak tanya, bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh terus beroperasi jika defisit semakin meningkat sedangkan lebihan besar dicatatkan oleh beberapa agensi yang lain?” katanya ketika membahaskan Usul Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Agensi Perseketuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu menilai keberhasilan bukan sahaja dari segi pengawasan berterusan terhadap pengoperasian anak-anak syarikat milik agensi Persekutuan, tetapi juga dengan menginstitusikan akauntabiliti menerusi mekanisme pendedahan kewangan yang lebih ketat secara berkala bagi mengelakkan ketirisan dan kelemahan tadbir urus kewangan di peringkat sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Langkah ini penting memandangkan tahap ketelusan laporan kewangan anak-anak syarikat kerajaan masih berada pada tahap yang rendah. Tanpa pendedahan kewangan yang jelas dan terperinci, ia menyukarkan proses pemantauan secara serius.

“Adakah kerajaan turut mengkaji modul baharu seperti kewujudan Jabatan Kecekapan Kerajaan di Amerika Syarikat sebagai usaha menyusun semula agensi-agensi Persekutuan dan merombak birokrasi kerajaan?

“Langkah rasionalisasi subsidi terhadap rakyat hanya lebih bermakna jika kerajaan dapat menoktahkan isu ketirisan dan kerugian dalam agensi kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai larangan lantikan ahli politik dalam anak-anak syarikat kerajaan.

Katanya, lantikan ahli politik aktif dalam syarikat atau agensi kerajaan perlu dikawal ketat bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik.

Ini, tambahnya dapat mengelakkan konflik kepentingan (conflict of interest) serta memastikan keputusan yang dibuat lebih berpaksikan kepada profesionalisme dan kecekapan.

“Adakah kerajaan juga bercadang untuk mengkaji semula dasar pelantikan pegawai-pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah syarikat subsidiari agensi-agensi Persekutuan, termasuk menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap jawatan sebagaimana sektor swasta?

“Ini mengambil kira lebih 117 lantikan politik di bawah kerajaan Madani bagi jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dan badan berkanun Persekutuan.

“Apakah status saranan supaya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta komitmen kerajaan untuk melaksanakan pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran, termasuk menteri dan timbalan menteri, seperti yang dijanjikan sebelum ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!