KUALA LUMPUR: Isu kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan usahawan menimbulkan persoalan mengenai punca sebenar masalah tersebut dan keberkesanan langkah yang diambil untuk mengatasinya.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mempersoalkan perkara tersebut serta jumlah usahawan yang benar-benar berjaya melunaskan pinjaman mereka.
“Apa punca sebenar peningkatan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan usahawan serta jumlah mereka yang benar-benar berjaya melunaskan pinjaman?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta penjelasan berhubung pendekatan yang telah dibuat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu usahawan menangani cabaran ekonomi yang mencabar pada masa ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, cabaran utama yang dihadapi usahawan termasuk persaingan sengit, ketidakmampuan membayar balik pinjaman, serta faktor luar kawalan seperti kematian dan hilang keupayaan untuk berniaga.
“Persaingan ini menjadi salah satu cabaran besar kepada usahawan kita. Apabila produk dan perkhidmatan mereka tidak mendapat sambutan, kesannya adalah kesukaran membayar semula pinjaman perniagaan,” katanya.
Terdahulu, beliau menjawab soalan asal Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta penjelasan mengenai usaha agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam mengurangkan kadar NPL serta status pencapaiannya pada tahun 2024. – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!