KUANTAN: Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz, mengecam tindakan Umno Pahang yang dilihat menggunakan fitnah dan pembohongan sebagai senjata politik demi mengekalkan kuasa.
Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila Ketua Penerangan Umno Pahang, Dato’ Seri Shahaniza Shamsuddin memuat naik satu hantaran yang dikongsi daripada akaun palsu.
Menurut Mohd Zarimi, hantaran dikongsi itu kononnya pimpinan PAS Pahang menyeru rakyat untuk memboikot himpunan solidariti rakyat Pahang.
“Dalam keadaan rakyat semakin celik maklumat, tindakan sebegini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah membuktikan ketandusan idea dalam perjuangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, rakyat Pahang juga semakin muak dengan politik kotor yang hanya bertujuan untuk mengelirukan dan memecahbelahkan masyarakat.
“Umno Pahang sepatutnya fokus kepada membela nasib rakyat, bukan menyebarkan fitnah untuk kepentingan politik sempit,” ujarnya.
Zarimi berkata, PRU16 merupakan peluang terbaik bagi rakyat untuk menolak politik fitnah serta memilih kepimpinan yang lebih bersih, berintegriti dan benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Sudah tiba masanya Umno Pahang ditalkinkan dari pentas politik negeri ini agar pembangunan yang lebih progresif dapat dilaksanakan.
“Kami menyeru seluruh rakyat Pahang untuk tidak terpedaya dengan taktik politik lama yang hanya mahu mengekalkan kuasa tanpa peduli kebajikan rakyat.
“PRU-16 adalah peluang untuk membawa perubahan yang lebih baik bagi negeri ini. Tiada apa yang mustahil dengan izin Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!