PADANG BESAR: Kuih raya edisi Harumanis 2025 merupakan satu langkah besar dalam memperkenalkan keunikan negeri itu ke peringkat antarabangsa.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, tart harumanis yang menggunakan buah mangga ikonik Perlis itu dijangka mendapat sambutan luas, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di China dan Acheh.
“Dulu kita terkenal dengan tart nanas, kali ini kita harap semua rakyat Perlis dan orang ramai dapat merasa tart harumanis untuk raya nanti,” katanya.
Beliau ditemui selepas lawatan ke Majlis Pelancaran Kuih Raya Edisi Harumanis 2025 di Ar Rehlah, Pusat Agro Pelancongan Bukit Temiang, di sini, semalam.
Menurutnya, pemasaran produk itu ke luar negara akan dilakukan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-China-Aceh, selain sokongan daripada Jabatan Pertanian dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam membangunkan produk hiliran harumanis.


“Sekarang pun dah ada penghasilan produk di Kuala Perlis, dan ia masih dalam proses penambahbaikan. Insya-Allah, tahun depan kita akan ada kilang sendiri untuk produk ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Athanliz Innovations Sdn Bhd, Dr Athifah Najwani Shahidan berkata, syarikatnya telah membangunkan 30 produk berasaskan harumanis, termasuk lima jenis kuih raya, menggunakan teknologi ekstrak buah tersebut.
“Rangkaian kuih raya ini menggunakan ekstrak harumanis yang telah melalui proses pengeringan khas. Bau dan rasa buah ini kekal walaupun dimasak dalam suhu tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata, syarikatnya menyasarkan jualan 10,000 unit bagi setiap jenis biskut menjelang Aidilfitri tahun ini dengan harga antara RM15 hingga RM17 bagi setiap bekas mengandungi 15 biji biskut.
Selain itu, Dr Athifah turut memaklumkan bahawa tenaga kerja syarikatnya terdiri daripada 15 individu dari golongan asnaf dan B40 yang telah menjalani latihan di bawah geran Semua Kumpulan Parlimen Parti Malaysia (APPGM) sejak dua tahun lalu.

“Kami juga bekerjasama dengan enam usahawan tempatan dalam menghasilkan kuih raya ini, manakala syarikat kami bertanggungjawab dalam aspek pemasaran,” katanya.
Antara produk lain yang dihasilkan berasaskan harumanis termasuk popcorn, agar-agar kering, dan serbuk ekstrak buah yang digunakan sepanjang tahun dengan anggaran pengeluaran 15 tan setahun.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad dan Pengerusi Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri, Abu Bakar Hamzah serta Pengarah Pertanian Negeri, Hafizuddin Othman.
Juga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perlis, Roshidah Ahmad dan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-China-Aceh, Dato’ Hassan Saad serta Rektor UiTM Perlis, Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mohd Noor. – HARAKAHDAILY 26/2/2025



Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!