KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diminta menyatakan tindakan terhadap kebimbangan lampin bayi yang tercemar dengan bahan kimia.
Selain itu, Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) turut meminta kerajaan supaya menetapkan satu standard yang digunapakai bagi menjamin tahap keselamatan barangan dan produk bayi di negara ini.
“Minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan tindakan kementerian terhadap kerisauan lampin bayi yang tercemar dengan bahan kimia yang berbahaya.
“Serta rancangan menetapkan standard keselamatan lebih ketat bagi produk bayi,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata mengenai kebimbangan tersebut pihaknya menerima sedikit aduan berbanding barang tiruan.
Beliau berkata pada tahun 2015 pihak kementerian hanya menerima empat aduan mengenai barang tiruan dan lampin pakai buang yang dikhuatiri tamat tempoh dan menyebabkan penyakit ruam.
Mengenai standard produk bayi pula kata beliau, kementerian sedang bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian lain bagi mencapai hasrat tersebut secara keseluruhan di negara ini. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!