KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau), menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu pertikaian di Laut China Selatan, khususnya berkaitan dengan tuntutan China terhadap kawasan perairan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia perlu memanfaatkan platform Pengerusian ASEAN bagi menyegerakan rundingan Kod Tatalaku (COC) dengan China sejajar dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
“Kita mendapat maklumat tentang kebocoran dokumen iaitu duta Malaysia telah membantah China kerana telah membuat tuntutan mengarahkan Malaysia supaya menghentikan aktiviti-aktiviti minyak di kawasan yang berkenaan.
“Tidak ada aktiviti ekonomi yang boleh dibuat di sana dan nelayan kita yang pergi ke sana dihalau balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Shahidan turut mempersoalkan sama ada mana-mana anggota Kabinet pernah melawat Beting Patinggi Ali, kawasan yang dikatakan memiliki sumber minyak dan gas terbesar di dunia.
“Pernahkah kita pergi ke sana? Kita hanya bagi jawapan di parlimen ini dengan membaca tulisan yang dibuat tetapi yang sebenarnya tidak berlaku di sana.
“Kita sekarang ni menghadapi masalah sebab kapal pengawal China yang ada di sana lebih besar daripada kapal kecil Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan juga kapal tentera laut kita,” katanya.
Beliau memberi tempoh tiga bulan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dalam isu ini.
“Jadi saya nak tanya apakah benar, kalau benar apakah Yang Berhormat kena ambil tindakan dalam tempoh tiga bulan daripada sekarang atau tidak kami akan datang lagi di parlimen bertanya apakah kita nak serah kawasan ini kepada negara asing?” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, aktiviti eksplorasi minyak dan gas di sekitar Beting Patinggi Ali sedang berjalan seperti biasa.
“Jadi di kawasan ini memang sedang berjalan aktiviti-aktiviti ekonomi. Itu sebabnya, agensi penguatkuasa sentiasa berjalan bagi memastikan kerja-kerja itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Alamin berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menjadikan isu Laut China Selatan sebagai fokus utama. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!