KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan mengembalikan pas media kepada wartawan Harakah sebagai bukti komitmen terhadap kebebasan media di negara ini.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, Ahmad Fadhli menekankan bahawa penarikan balik pas media Harakah pada November 2023 adalah tindakan yang mencerminkan usaha menyekat kebebasan bersuara.
“Tahun lepas, pas media Harakah ditarik balik dan Menteri Komunikasi ketika itu, memberi jaminan secara bertulis kepada saya untuk mempertimbangkan pemberian semula pas tersebut. Namun, sehingga hari ini, perkara itu belum direalisasikan,” katanya.
Penarikan pas media tersebut berlaku selepas Harakah menerbitkan artikel bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin’ pada 6 November 2023, yang didakwa melanggar etika kewartawanan.
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa tindakan demikian menunjukkan kerajaan seolah-olah mahu mengekang kebebasan media dan bersuara rakyat.
“Jangan kita contohi Amerika Syarikat yang mundur ke belakang dalam isu kebebasan media apabila pentadbiran Trump mengumumkan akan memilih agensi media tertentu sahaja untuk buat liputan di White House. Jika kita benar-benar mendukung kebebasan media, kita tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam pemberian pas media,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa semasa era pemerintahan terdahulu, Harakah tidak pernah mengalami penarikan pas media, dan tindakan ini mencerminkan budaya ‘draconian’ yang mengekang kebebasan media.
“Sedikit demi sedikit, kerajaan hari ini menuju ke arah budaya ‘draconian’, yang menandakan mereka takut dengan kebebasan media,” tambahnya.
Ahmad Fadhli mengakhiri perbahasannya dengan menyeru kerajaan untuk mengembalikan pas media Harakah sebagai langkah konkrit dalam membuktikan komitmen terhadap kebebasan media dan hak bersuara di Malaysia. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!