KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menegur segelintir pengamal media yang tidak membuat liputan yang baik khususnya di negeri-negeri diperintah Perikatan Nasional (PN).
Beliau menaruh harapan tinggi terhadap Majlis Media Malaysia 2024 yang bakal ditubuhkan kelak supaya dapat mengekang laporan yang bersifat berat sebelah selain berita yang tidak benar.
Menurutnya, pengamal media perlu bertanggungjawab terhadap berita, meskipun ideologi politik antara kerajaan hari ini bersama kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis berbeza.
“Termasuk empat negeri kami perintah, kita semua ada kekurangan dan sebagainya, tidak mengapa asalkan dia berfakta dan berdata, kerana kita tahu tidak ada yang sempurna di dunia ini.
“Yang sempurna hanyalah Allah, sebab itu apa yang kita buat kita tidak akan sempurna termasuk apa yang dilakukan oleh kerajaan kami, namun biarlah pemberitaan itu pemberitaan yang jujur,” katanya.
Naib Presiden PAS itu berkata, penubuhan majlis itu juga diharap menjadi pengawal perlanggaran etika kewartawanan dan mewujudkan mekanisma mengekang ketidakpuasan hati terhadap berita.
Menurutnya, beliau menyokong kebebasan diberikan oleh kerajaan kepada pengamal media, malah golongan itu perlu bersifat telus dan jujur terhadap sebarang laporan yang disiarkan.
“Saya juga tidak setuju seandainya Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia ini, bertujuan untuk menekan media serta laporan yang bersifat kritikal terhadap kerajaan pada hari ini.
“Justeru saya menyokong kebebasan media tanpa kekangan, namun begitu dia juga bertanggungjawab apa yang dilaporkan,” katanya pada sesi perbahasan RUU Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!