URA: Tiada perbincangan akta baharu dalam hansard

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan mengenai penggubalan akta baharu berhubung pembaharuan bandar dalam rekod hansard Parlimen sebelum ini.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, jawapan menteri-menteri terdahulu hanya menyentuh soal pindaan kecil, tanpa menyebut cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang kini dalam pertimbangan kerajaan.

Beliau turut membangkitkan bahawa dalam dokumen terdahulu yang dirujuk ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah, persetujuan pemilik tanah masih memerlukan 100 peratus persetujuan.

“Tidak seperti cadangan semasa yang menurunkan ambang persetujuan kepada 80 peratus, 75 peratus, atau 51 peratus. Jika sebelum ini 100 peratus persetujuan diperlukan, bagaimana dengan cadangan baharu yang hanya memerlukan 51 peratus? Adakah baki 49 peratus boleh diabaikan begitu sahaja?

“Bolehkah penggubalan akta baru ini tak memasukkan penurunan hak ambang sebegitu rupa. Kemudian bagaimana URA ini dapat memberi jaminan tidak berlaku perubahan polarisasi penduduk dalam kawasan pembangunan URA.

“Kalau boleh kemukakan data berhubung dengan Kampung Kerinchi, Abdullah Hukum dan Razak Mansion sebelum dan selepas perlaksanaan, serta data pemilikan mengikut etnik sebab kemungkinan berlaku polarisasi kaum,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, turut membangkitkan isu nasib peneroka bandar, khususnya kes Kampung Setia Jaya yang baru mendapat pengiktirafan Mahkamah Rayuan sebagai peneroka asal.

“Bagaimana kerajaan akan melindungi hak peneroka bandar yang telah sekian lama menetap di kawasan mereka?” katanya.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjawab soalan itu, berkata pemilik asal tidak akan dipaksa berpindah dan hak mereka tetap akan dilindungi mengikut undang-undang. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!