Tidak ada sebab untuk Tuan Guru Abdul Hadi berundur

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tiada keperluan untuk menukar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam pemilihan muktamar akan datang kerana kepimpinannya masih relevan dan berwibawa. 

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, meskipun terdapat polemik serta spekulasi mengenai jawatan nombor satu dalam PAS, parti itu kekal mengamalkan demokrasi yang telus tanpa sebarang perpecahan dalaman. 

“Saya agak tertarik juga sebab ramai pihak begitu berminat dengan pemilihan dalam Muktamar PAS, sedangkan mereka sepatutnya lebih fokus kepada parti lain.

“Jika dibandingkan prestasi Presiden PAS, lebih baik berbanding presiden parti lain. Contohnya presiden parti Umno yang sudah beberapa kali tangguh pemilihan dan tidak ada pula suara-suara yang mendesak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri berkata demikian dalam satu sidang media Sempena Madinah Ramadan dan Isu Semasa di Bilik Exco, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Ridzuan Hashim.

Menurut Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, PAS memberi kebebasan penuh kepada ahli untuk mencalonkan pemimpin yang sesuai bagi setiap jawatan tanpa sebarang kem tertentu.

“Kita dalam PAS mengamalkan demokrasi. Kita beri kebebasan kepada ahli-ahli untuk menghantar calon-calon yang sesuai di mana sahaja posisi, kita terbuka.

“Kita tidak ada kem, kita telus, bukti ketelusan pemilihan dalam PAS tahun sebelum ini semuanya berjalan dengan lancar. Tidak ada yang baling kerusi dan sebagainya,” katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-70 dijadualkan diadakan di Kedah pada September ini.

Pada 31 Januari, penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, PAS memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, sudah sampai masanya Tuan Guru diberikan peranan baharu seperti penasihat dan bukan lagi berstatus Presiden parti.

Mengulas berhubung perkara tersebut, Khalil berkata, pemimpin tertinggi parti itu masih sihat dan mampu meneruskan tugasnya dengan baik. 

“Alhamdulillah, Tuan Guru masih sihat dan pemikirannya tajam. Saya rasa tidak ada sebab untuk beliau berundur. Beliau masih boleh meneruskan tugas sebagai Presiden dan memimpin parti dengan baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!