MALAM tadi imam besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ikrimah Said Sabri menyampaikan ceramah bertajuk Kedudukan Al-Quds dan Aqsa di sisi Islam di Masjid Putra.
Berikut adalah terjemahan ceramah beliau:
Ini pertemuan yang baik dibuat di rumah Allah, mendapat naungan malaikat dan reda Allah.
Masjid adalah ‘tempat duta’ Allah di buminya.
Selepas ini kita masuk Ramadan, semoga Allah menerima ibadat kita. Puasa Ramadan adalah ibadat yang istimewa kerana ia ibadat yang tersembunyi, tidak diketahui melainkan Allah. Justeru, Allah mengaitkannya dengan taqwa di dalam ayat-Nya:
لعلكم تتقون
“Mudah-mudahan kamu bertaqwa.”
Saya ambil peluang berada dalam majlis besar pada malam ini bersama dengan Malaysia yang menjadi sahabat baik untuk menyatakan bahawa Palestin, Al-Quds wal-Aqsa yang kamu kasih ini, 3 kalimah Ini memberi makna yang satu kerana ayat Al-Quran dan hadis yang menyebut mengenainya tidak membezakan sangat antaranya. Apabila disebut Palestin dikaitkan Al-Quds dan Aqsa. Begitu juga sebaliknya.
Bandar Quds melalui fasa cemerlang, antaranya peristiwa Israk dan Mikraj yang datang daripada Allah. Mukjizat Ini tidak berulang, bahkan di dalamnya mengandungi beberapa mukjizat lain pula.
Pertama, Buraq berupa seekor binatang yang ditunggangi oleh Nabi dari Mekah ke Palestin. Dinamakan Buraq kerana lebih laju dari al-barq/kilat.
Kedua, Nabi ikat Buraq di sebelah dinding Barat. Lalu dinamakan Ha’it al-Buraq (Dinding Buraq)
حائط البراق
Nama ini, kami berpegang dengannya dan tidak boleh dinamakan dengan dinding meratap (iaitu tempat ibadat Yahudi sekarang) kerana nama Ini, kami tidak mengiktirafnya.
Ketiga, Nabi naik dari Baitul Maqdis ke langit. Baitul Maqdis dinamakan sebagai gerbang bumi ke langit
Keempat, turunnya para nabi daripada langit dunia ke Aqsa. Semua nabi turun dan Nabi Muhammad SAW menjadi imam solat. Nabi Muhammad menjadi imam para nabi di dunia dan akhirat.
Kelima, Al-Aqsa ialah pintu untuk nabi. Mukjizat Ini menunjukkan nabi adalah pembawa risalah alam kerana para nabi membaiah baginda membawa risalah ini.
Apabila kita sebut Muhammad SAW, semua kita sepatutnya berselawat kepada Baginda supaya kita dapat syafaat Baginda pada hari kiamat nanti.
Baitul Maqdis adalah kiblat pertama umat Islam sebagai tanda mengangkat ketinggiannya apabila solat asalnya berhadap kepadanya.
Israk dari Mekah ke Quds, kemudian Mikraj daripada Quds ke langit.
Kedudukan Baitul Maqdis yang hebat ini ditetapkan oleh Allah Taala sendiri.
Solat di Quds 500 kali kelebihannya daripada masjid lain (kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabi) sama ada fardu dan sunat.
Di sana ada kelebihan lain bagi Baitul Maqdis iaitu pembukaannya oleh khalifah yang adil, Amir al-Mukminin Umar Al-Khattab.
Umar Al-Khattab yang membuka Baitul Maqdis kerana Nabi telah memberi khabar gembira bahawa Baitul Maqdis akan dibuka oleh lelaki yang adil. Umar ingin bahawa beliau yang membukanya. Dan beliau adalah khalifah yang sangat adil.
Rom tidak Islam, memerintah Baitul Maqdis. Mereka sebut kami tidak serah Baitul Maqdis Ini melainkan kepada lelaki yang adil. Apabila Rom mendengar tentang keadilan Umar, mereka berkata: Inilah lelaki yang dimaksudkan dan kita mesti menyerahkan kepadanya kunci Baitul Maqdis Ini dengan cara sukarela.
Umar memang berlaku adil, antaranya bersama khadamnya Aslam, bila berada dalam perjalanan daripada Madinah ke Quds. Umar bergilir dengan khadamnya Aslam menunggang binatang. Sekali Umar tarik binatang, Aslam tunggang dan sekali Umar tunggang, Aslam tarik bintang.
Umar masuk Baitul Maqdis dengan berjalan kaki, tenang dan selamat, tidak dengan kereta kebal dan peluru berpandu.
Umar meletakkan ‘Wathiqah Umariah’ yang terkenal yang menerangkan hubungan Muslim dan non-Muslim, menjaga masjid dan gereja serta memberi perlindungan kepada penduduk, tidak meruntuhkan rumah, gereja dan lain-lain (seperti yang dilihat kini dibuat oleh rejim Zionis).
Antara yang menyambut Umar ialah Bilal Al-Habsyi, muazzin Nabi.
Bilal pernah berhenti azan selama 5 tahun, daripada tahun kewafatan Nabi SAW iaitu tahun 10H hingga 15H. Beliau tidak tahan untuk menangis jika melaungkan azan kerana teringatkan Nabi SAW.
Umar menyuruh Bilal azan apabila masuk Baitul Maqdis.
Apabila Bilal mula azan menyebut Allahu Akbar, para sahabat menangis. Kenapa? Mereka teringatkan azan ini yang dikumandangkan oleh Bilal di zaman Baginda SAW.
Bilal mendapat 2 kelebihan azan- di pembukaan Mekah dan apabila buka Baitul Maqdis.
Piagam Umar dianggap satu dokumen yang sangat penting buat sejarah kami (orang Palestin) yang menetapkan hak orang Islam di Baitul Maqdis. Piagam ini sepatutnya disebarkan dan diuar-uarkan. Menteri Agama Malaysia telah berjanji kepada saya untuk menguar-uarkan Piagam ini kepada masjid-masjid supaya orang Islam boleh membacanya.
Allah mengisytiharkan Palestin adalah Islam daripada laut ke darat, timur ke Barat, dan ia adalah ‘wakaf Islam’
Kerajaan Malaysia juga berjanji akan menubuhkan inisiatif wakaf untuk Quds dan sekolah supaya Malaysia juga ada kesan ‘air tangannya’ di sana, menjadi sedekah jariah berpanjangan hingga akhirat.
Perkara ini terbuka kepada semua negara Arab dan Islam meletakkan ‘cap jari tangan’ di Quds kerana Quds bukan untuk penduduk Quds sahaja tetapi ia seperti Mekah Al-Mukarramah dan Madinah.
Bandar Quds perlukan sumbangan untuk menetapkan keislamannya dan menetapkan kedudukan penduduk Quds yang menjadi murabitun mempertahankan AlQuds.
Nenek moyang kamu dahulu masuk Islam daripada pedagang negara Arab melalui mahabbah, tanpa paksa, tanpa perang.
Wakaf ialah bentuk ibadat taabudiy iaitu semata-mata taat, di samping membantu anak yatim, pendidikan, hospital, masjid, perkuburan.
Wakaf adalah ibadat yang menyeluruh. Nabi sendiri mewakafkan kebunnya untuk kepentingan Islam.
Malaysia setuju membina penempatan pintar di Gaza dan bandar Quds.
Kami juga tidak lupa kepada negara Qatar atas sumbangan mereka. Kita ada pertemuan khas dengan mereka nanti. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Nik Muhammad Nasri ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!