KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, menolak pandangan bahawa tiada individu yang layak menggantikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin utama negara.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia memiliki ramai tokoh politik, teknokrat dan diplomat berwibawa yang boleh mengisi jawatan Perdana Menteri ke-11 (PM11) serta seterusnya.
“Tidaklah sukar untuk sesiapa menjadi PM11, setelah kita menyaksikan PM10 merendahkan kriteria (lowered the bar) sebagai Perdana Menteri – bercakap kosong, berjanji manis, hasilnya tiada. Indah khabar dari rupa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setelah dihinggapi penyakit ‘kleptokrasi’ dan ‘kakistokrasi’, Malaysia kini amat dahagakan pakej kepimpinan negara yang profesional, kompeten, berintegriti dan ikhlas dalam meletakkan kepentingan negara mengatasi agenda peribadi.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa seorang ‘teknokrat’ wajar diberikan peluang untuk menerajui negara sebagai PM11.
“Seorang profesional yang disegani, kompeten, berintegriti dan bermaruah – ‘man of his word, man of integrity’ – kualiti seumpama (Allahyarham) Tan Sri Khalid Ibrahim, ataupun setarafnya.
“Siapakah calon yang difikirkan layak hari ini, terbuka untuk perbincangan. Saya boleh namakan, tetapi bukan di sini,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.
Beliau turut mencadangkan agar pemimpin yang dipilih tidak terhad dalam kalangan ahli politik sahaja, tetapi boleh terdiri daripada tokoh korporat seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang profesional, berpengalaman dan disegani.
“Walhasil insya-Allah, ‘PM Teknokrat’, PM11 bagi menggantikan PM10, alternatif terbaik untuk Malaysia,” kata Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz menyatakan kebimbangannya bahawa tiada calon lain layak menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas 2026, termasuk dalam Umno sendiri.
Beliau menegaskan Umno tidak mempunyai kedudukan yang cukup kuat untuk menamakan calon perdana menteri dan secara sinis mempersoalkan siapa dalam parti itu yang benar-benar layak.
Nazri juga menyatakan komitmennya untuk terus menyokong Anwar dalam pilihan raya akan datang bagi memastikan kestabilan politik negara. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!