Pusat Tarannum Al-Quran Kelantan terima 50 pelajar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Tarannum al-Quran Kelantan yang ditubuhkan pada 26 Jun tahun lalu sudah membuat pengambilan pelajar pertamanya seramai 50 pelajar di samping lima tenaga pengajar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, 18 pelajarnya telah dikenal pasti mampu menjadi qari dan qariah yang hebat.

Malah, pihaknya merancang untuk memperluaskan lagi institusi pendidikan tersebut ke peringkat jajahan bagi memberi peluang lapisan masyarakat mendalami salah satu cabang ilmu al-Quran.

“Kita membuka peluang ini kepada semua anak-anak muda di Kelantan untuk sama-sama memperhebatkan pusat taranum ini, diharapkan ia tidak hanya di Kota Bharu sahaja tetapi diperluaskan ke jajahan lain.

“Kita sudah membuat pengambilan pertama pelajar pusat taranum ini melibatkan 50 pelajar, 18 merupakan pelajar yang telah melalui proses saringan dan ada kelayakan jadi qari dan qariah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri 1446H/2025M, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji di sini malam kelmarin.

Acara tahunan itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, manakala majlis penutup dijangka disempurnakan oleh Sultan Kelantan pada 26 Februari depan.

Turut hadir Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamed; Pengarah JAHEIK, Dr Hasnan Ramli; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Idham Abdul Ghani dan pimpinan kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan penubuhan Pusat Tarannum al Quran Kelantan ditubuhkan dan dikelola oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) di Kompleks Balai Islam Lundang di sini.

Kerajaan negeri turut melantik Ustaz Hussin Yunus, Ustaz Che Yahya Daud dan Ustazah Faridah Mat Saman yang pernah menjadi johan Majlis Tilawah al Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Institusi itu turut melantik Mudir Akademi Al-Quran Bandar Islam yang juga pemilik sanad al Quran dan Qiraat bersambung sehingga Rasulullah, Syeikh Hisyam Abdul Bari. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!