Perkukuh al-Quran dalam urusan harian rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mahu memperkukuhkan lagi ajaran al-Quran dalam semua urusan harian rakyat termasuk pentadbiran kerajaan negeri melalui dasar ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Islam sudah menetapkan asas yang kukuh bagi memastikan setiap ajaran agama dapat dilaksanakan dalam pembangunan negeri.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan negeri komited mahu melahirkan modal insan yang berkualiti serta penerapan teras PMBI iaitu Ubidiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) dalam pentadbiran negeri.

“Selain itu, penggubalan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) memperkukuhkan usaha melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta memahami tuntutan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Penghayatan al-Quran diterjemahkan dalam sistem pentadbiran negeri melalui penggubalan undang-undang bagi kesejahteraan rakyat agar tidak terjerumus ke lembah kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri 1446H/2025M, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamed; Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud dan Pengarah JAHEIK, Dr Hasnan Ramli.

Seramai lapan qari, tujuh qariah menyertai acara tahunan yang bermula 23 Februari sehingga 26 Februari itu, di samping 25 hafiz dan hafizah masing-masing telah melepasi saringan awal.

Pada malam pertama pertandingan diadakan dua peserta, Muhammad Anwar Abdullah dan Zumirah AB Rahman, telah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V pada 26 Februari. – HARAKAHAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!