KUALA LUMPUR: Pembangunan infrastruktur jalan raya di Dungun terus mendapat perhatian, termasuk cadangan pembesaran jalan dan kerja-kerja penyelenggaraan bagi mengatasi kesesakan serta memastikan keselamatan pengguna.
Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengutarakan isu ini dalam soalan tambahannya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Selain penjelasan yang telah diberikan, terdapat dua perkara utama yang perlu diberi perhatian iaitu pembesaran jalan daripada dua kepada empat lorong dari Tanjung Jarak (EH18) ke Persimpangan Cik Lijah (132) serta dari Bukit Bauk ke Kampung Nyor (AH18).
“Selain itu, kerja pembaikan permukaan jalan yang kritikal perlu dilakukan di laluan FT14 dari simpang Bukit Besi hingga sempadan Kemaman kerana masih banyak jalan yang perlu dibaiki dan dipulihkan,” katanya.
Menjawab perkara tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Unit Perancangan Ekonomi Negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah mengemukakan permohonan dalam Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 bagi menaik taraf jalan-jalan tersebut.
“Kita akan meneliti cadangan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan akan mengemukakannya kepada agensi pusat,” ujarnya.
Mengenai penyelenggaraan laluan FT14 sejauh 61.3 kilometer, Ahmad memaklumkan bahawa jalan tersebut berada di bawah seliaan syarikat konsesi, dan sebanyak RM7.08 juta telah diperuntukkan bagi projek-projek penyelenggaraan di kawasan terlibat pada tahun 2025.
Dalam soalan asalnya, Wan Hassan meminta penjelasan mengenai perancangan Kementerian Kerja Raya bagi membaiki kerosakan serta menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, selain menangani masalah hakisan di Parlimen Dungun susulan siri banjir besar yang melanda kawasan itu. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!