Pekebun kecil sukar sesuaikan diri dengan sistem digital

Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelemahan dalam kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pekebun kecil, khususnya golongan berusia menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan bantuan secara dalam talian yang diperkenalkan kerajaan.

- Advertisement -

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, masih ramai pekebun kecil yang sukar menyesuaikan diri dengan sistem digital walaupun aplikasi RRIMniaga diperkenalkan bagi memudahkan transaksi jual beli getah.

“Kementerian telah memperkenalkan satu aplikasi RRIMniaga sebagai membolehkan bantuan kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) disalurkan terus ke akaun bank pekebun kecil getah.

“Sejauh mana kerajaan menilai keberkesanan aplikasi dan berapa jumlah pekebun kecil yang telah menerima manfaat tersebut? Selain itu, nyatakan cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil yang beradaptasi dengan aplikasi ini.

“Selain itu, kebanyakan pekebun kecil terdiri daripada golongan berusia dan kurang mahir IT. Bagaimana kemampuan mereka untuk menguruskan permohonan bantuan musim tengkujuh (BMT) secara dalam talian?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata RRIMniaga berada di bawah seliaan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan digunakan untuk merekod jualan getah secara elektronik serta mempercepatkan tuntutan insentif.

“Namun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) tidak ada akses untuk sistem ini dan Risda hanya menggunakan resit jualan daripada RRIMniaga untuk membuat permohonan sebagai senarai semak permohonan bantuan insentif di bawah Risda,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Kamal Ashaari yang meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan usaha proses pemutihan pekebun kecil telah dijalankan melalui Risda di seluruh negara bagi memastikan tiada golongan sasar yang tercicir daripada bantuan musim tengkujuh serta berapa sasaran penerima manfaat yang terlibat mengikut negeri bagi 2025. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!