Ops Supik Hitam: Tangani umat Islam tak berpuasa

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan Ops Supik Hitam dalam usaha membanteras gejala umat Islam yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, operasi itu bertujuan memastikan masyarakat menghormati kesucian dan kemuliaan bulan Ramadan serta mematuhi undang-undang syariah yang telah ditetapkan. 

“Tindakan ini selaras dengan Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang menyatakan bahawa individu beragama Islam yang makan, minum, atau merokok secara terbuka di tempat awam dalam waktu berpuasa adalah melakukan kesalahan.

“Jika disabitkan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu sidang media Sempena Madinah Ramadan dan Isu Semasa di Bilik Exco, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Ridzuan Hashim.

Beliau yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap para peniaga mematuhi waktu operasi kedai yang menjual makanan berdasarkan arahan dari pihak daerah masing-masing.

“Kami telah meminta bahagian penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk menyenaraikan premis menjual makanan kepada individu Islam yang tidak berpuasa pada tahun lalu.

“Ini adalah amaran terakhir sebelum Ramadan. Jika masih ada yang tidak patuh undang-undang, maka perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kedai makan dan restoran mematuhi peraturan waktu operasi yang ditetapkan sepanjang Ramadan. 

“Kami telah bermesyuarat dengan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, serta beberapa agensi lain untuk menyelesaikan isu ini.

“Antaranya ialah orang Islam yang membeli di kedai orang bukan-Islam, termasuk di kedai serbaneka seperti 7-Eleven dan e-Mart yang menjual makanan segera,” katanya. 

Beliau turut ditanya mengenai salah satu cabaran baharu yang dikenal pasti ialah pembelian makanan secara digital melalui platform dalam talian.

Iaitu yang melibatkan penggunaan aplikasi penghantaran makanan membolehkan individu tidak berpuasa mendapatkan makanan tanpa perlu membeli secara langsung di premis. 

“Insya-Allah kita akan ada satu mekanisme, cara (untuk menangani masalah tersebut) kita akan bekerjasama rapat dengan PBT kerana jawatankuasa penguatkuasaan syariah ni ada banyak bidang kuasa,” kata Khalil.

Ops Supik Hitam dijangka dilancarkan secara rasmi pada hari Khamis ini di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, dengan penyelarasan bersama antara pihak berkuasa agama dan PBT bagi memastikan keberkesanan operasi. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!