Kolej komuniti: Teruskan dasar awal bagi setiap parlimen

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menilai semula dasar berkaitan kolej komuniti.

- Advertisement -

Ini, kata beliau khususnya mengenai keputusan membatalkan pembinaan Kolej Komuniti Bachok walaupun telah melalui majlis perasmian pecah tanah.

Menurutnya, polisi baharu KPT yang mengehadkan penubuhan kolej komuniti sekiranya sesebuah parlimen sudah memiliki dua atau tiga institusi TVET adalah tidak wajar.

“Kolej komuniti ini mempunyai tawaran program yang tersendiri dan sasaran (niche). Justeru, dasar awal yang menetapkan setiap parlimen mempunyai kolej komuniti sendiri perlu diteruskan,” katanya ketika mencelah penggulungan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Zambry Abd Kadir berkata, pada peringkat awal, kerajaan memang bercadang mewujudkan kolej komuniti di setiap parlimen, termasuk di kawasannya sendiri.

“Namun secara realiti, terdapat pelbagai institusi teknikal yang menawarkan program asas dan sijil. Ada kawasan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pelajar yang mencukupi,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!