Kenaikan harga kurier bakal bebankan rakyat

Anwarnomics yang di luar tabii

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melahirkan kebimbangan dengan tindakan kerajaan mahu menaikkan harga perkhidmatan kurier yang dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada rakyat.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Komunikasi PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk memastikan kos perkhidmatan kurier yang rendah, selain mengekalkan persaingan adil dan perkhidmatan berkualiti.

Menurutnya, media melaporkan mengenai Garis Panduan Harga Rujukan Bagi Perkhidmatan Kurier yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang mengesyorkan harga minimum kurier bagi kiriman di bawah 2 kilogram dinaikkan kepada RM5, berbanding harga asal RM4.

“Ini bermaksud garis panduan ini mahu syarikat-syarikat kurier menaikkan harga. Ini adalah Anwarnomics yang di luar tabii. Ketika rakyat merintih mahu kos sara hidup diturunkan, kerajaan sengaja mahu harga dinaikkan pula. Sungguh pelik.

“Saya mahu tahu, bagaimana kenaikan harga ini ditentukan? Adakah kajian dibuat untuk melihat kesannya kepada pengguna? Adakah kerajaan tunduk kepada syarikat tertentu yang tidak efisyen dan melobi untuk menaikkan harga supaya mereka boleh tutup kerugian,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kadar kenaikan disarankan oleh garis panduan itu membimbangkan, terutama bagi rakyat yang sudahpun tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Bagi masyarakat luar bandar, perkhidmatan kurier adalah antara cara untuk mendapatkan barangan yang tidak mudah didapati di kawasan mereka. Jika kerajaan mahu harga dinaikkan, maka warga desa akan terpaksa membayar kos lebih tinggi setiap kali membeli barangan dalam talian.

“Peniaga kecil dan usahawan dari rumah pula bergantung kepada kos penghantaran yang rendah untuk terus berniaga dan bersaing. Jika kerajaan memaksa kenaikan harga, perniagaan mereka akan terkesan.

“Kita perlu tingkatkan kecekapan sektor logistik, manfaatkan teknologi terkini, dan membantu perniagaan dengan penyediaan infrastruktur yang lebih baik. Langkah-langkah ini lebih berkesan untuk mengukuhkan industri tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, menetapkan harga minimum yang lebih tinggi ketika harga semasa lebih rendah adalah tindakan pelik, di luar tabii dan mencerminkan kegagalanm kerajaan memahami keluhan rakyat. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!