Kaji pendekkan tempoh ‘housemanship’ kepada setahun

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memendekkan tempoh Pegawai Perubatan Latihan Siswazah (housemanship) daripada dua tahun kepada setahun sebagai langkah mengurangkan tekanan dalam kalangan pegawai perubatan pelatih.

- Advertisement -

Perkara itu dibangkitkan oleh Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai kesediaan pakar untuk memantau keupayaan pelatih (houseman) serta usaha kerajaan dalam menambah perjawatan tetap bagi doktor dan pakar perubatan.

“Apakah kesediaan di peringkat JPA untuk menyediakan lebih banyak perjawatan tetap bagi doktor pakar dan sebagainya,” soalnya.

Beliau juga menanyakan keputusan kerajaan berhubung kenaikan kadar insentif kerja lebih masa (on-call) daripada RM55 kepada RM65.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni berkata, keputusan memendekkan tempoh housemanship akan dikaji secara terperinci menerusi jawatankuasa khas.

“JPA telah meluluskan lantikan sebanyak 800 pakar setiap tahun kepada KKM dan ini akan membantu dari sudut latihan serta kapasiti perkhidmatan kesihatan negara.

“Kami yakin latihan yang diberikan kepada houseman mencukupi, dan apabila mereka diserap sebagai pegawai perubatan, mereka akan menerima latihan berterusan bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diiktiraf di dalam dan luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!