KUALA LUMPUR: Lambakan iklan berunsur lucah di media sosial, tabloid dan platform dalam talian boleh merosakkan minda rakyat serta memberi kesan negatif kepada golongan rentan seperti anak muda, individu yang mengalami tekanan dan pasangan suami isteri.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, iklan-iklan sedemikian masih berleluasa dan boleh menjadi faktor kepada peningkatan gangguan seksual serta kehancuran rumah tangga.
“Jadi sebenarnya berapa pendapatan pengiklan ini sehingga ia bercambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Selain itu, adakah kerajaan mempunyai pasukan khas?
“Tadi menteri ada kata yang memantau tapi pasukan khas spesifik untuk memantau dan membanteras secara efektif kegiatan-kegiatan seperti ini, tapi malangnya ia masih masih berleluasa lagi,” katanya.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menjawab pertanyaan itu berkata kementerian pada ketika ini tidak mempunyai angka spesifik mengenai pendapatan yang diperoleh daripada iklan-iklan itu.
“Saya tidak ada angka yang spesifik mengenai pendapatan yang diperoleh daripada iklan-iklan yang dimaksudkan,” katanya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Halimah yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan polisi dan langkah kementerian menangani iklan bahan lucah di media sosial, tabloid dan media massa dalam talian yang boleh menjadi faktor rangsangan berterusan untuk individu melakukan gangguan seksual dan berpotensi mengakibatkan rumah tangga berantakan. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!