ALOR SETAR: Program Iftar Ramadan dijangka akan memeriahkan lagi kedatangan bulan Ramadan tahun ini, selain menjadi ‘Experience Kedah’ sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 ini terutama kepada pengunjung luar.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Usahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, program tersebut akan diadakan sebanyak empat kali.
Iaitu pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini, bermula 7 Mac, bertempat di Medan Bandar Alor Setar, dari jam 5 petang hingga 8 malam.
Selanjutnya katanya, disusuli pada Jumaat seterusnya, 14 Mac, 21 Mac dan 28 Mac, ditempat dan waktu yang sama.
“Selain itu beberapa acara selingan juga disediakan selain beriftar bersama, iaitu Klinik Al-Quran, sembang santai bersama ulama dan pemimpin dan pameran ‘street dakwah’,” kata beliau pada kenyataannya, hari ini.
Ujar beliau lagi, selain bertujuan untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan program pembinaan rohani, Iftar Ramadan ‘Experience Kedah’ diharap dapat menjadi medan untuk mengukuhkan ukhuwah dan menyegarkan lagi syiar Islam di bumi Kedah ini.
“Pada masa yang sama ia juga bermatlamat memberi peluang kepada pelancong, khususnya yang beragama Islam untuk merasai sendiri pengalaman beriftar cara orang Kedah.
“Kalau dulu, orang mai iftar di Medan Bandar ni, atas inisiatif sendiri tetapi kali ini kita jemput rai program bersama-sama,” jelasnya lagi.
Program tersebut ujarnya juga diadakan dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah, Murtadha Dakwah Centre dan Pertubuhan Kebajikan Nur Iman.
Justeru itu, orang ramai dijemput beramai-ramai berbuka puasa bersama-sama di Medan Bandar di samping disajikan dengan tazkirah agama sebagai halua telinga.
“Lepas beriftar dan berjemaah Maghrib bolehlah terus ke Masjid Zahir di seberang jalan untuk bersolat terawih. Ingat ya tarikhnya, 7, 14, 21 dan 28 Mac 2025 ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!