Gerak himpunan besar-besaran tolak RUU URA

Mohd Hafez Sabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia merancang untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri, menegaskan bahawa usaha ini adalah demi memastikan suara rakyat didengar dan hak mereka dipertahankan.

- Advertisement -

Menurutnya, Pemuda PAS dengan tegas menolak RUU ini kerana ia dikhuatiri akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosioekonomi, serta menindas hak golongan tertentu, terutamanya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan di kawasan bandar.

Katanya, undang-undang baharu ini lebih memihak kepada pemaju yang berkepentingan atas nama pembaharuan semula bandar, sekali gus memberi tekanan kepada penduduk yang terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan.

“Kami amat bimbang strategi yang digunakan untuk mengusir penduduk di Palestin satu masa dahulu akan berulang kembali. Penduduk asal akan berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya sendiri! Ini seperti satu bentuk penjajahan moden dan ia mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Hafez berkata, Pemuda PAS meminta seluruh rakyat Malaysia, terutama umat Melayu-Islam, untuk bersatu dalam membantah RUU ini.

Menurutnya, rakyat tidak boleh berdiam diri apabila hak dan masa depan mereka diancam oleh dasar yang berpotensi merugikan generasi akan datang.

“Agenda penjajahan moden ini harus ditolak. Kita mesti bangkit dan menyatakan pendirian tegas bagi memastikan keadilan terjamin untuk semua,” katanya.

Himpunan besar-besaran yang dirancang ini akan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bagi memperjuangkan hak rakyat serta memastikan kerajaan tidak meneruskan dasar yang boleh mengancam demografi bangsa dan masa depan generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!