PAPAR: “Anugerah adalah pengiktirafan atas segala keja buat dan usaha warga Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) An Nawawi, Papar,” kata timbalan pengerusi SRITI itu, Ustaz Azman Jupri.
Ini susulan SRITI An Nawawi, telah dinobat sebagai penerima Anugerah Model Pengurusan SRITI Cawangan Contoh bagi Zon Borneo pada Majlis Hari Kualiti SRITI Malaysia 2025, yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.
Anugerah telah disampaikan oleh bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afiq Farhan Mazlan.
Menurut Azman, dengan anugerah itu secara tidak langsung telah melonjak nama SRITI Sabah di mata masyarakat.
“Penghargaan ini merupakan pengiktirafan terhadap kerja dan dedikasi barisan pentadbiran serta semua warga SRITI An Nawawi dalam memastikan agenda pendidikan berada pada landasan yang betul dan tersusun.
“Pengiktirafan ini juga menjadi penanda aras bahawa SRITI di Daerah Papar khususnya mampu bergerak seiringan dengan SRITI-SRITI seluruh Malaysia seterusnya menyakini masyarakat sekitar dengan keupayaan untuk memberi pendidikan terbaik,” katanya kepada Harakahdaily di sini.
Sementara itu, menurut Guru Besar SRITI An Nawawi Papar, Nurizyan Haziqah Hussin, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat guru-guru untuk terus memberikan yang terbaik dalam melahirkan pendidik dan murid cemerlang.
“Kami terkejut dan sangat terharu dengan pengiktirafan yang diberikan biarpun kami ini baru setahun jagung dalam pengurusan operasi sekolah,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama yang erat antara pihak pengurusan, guru-guru dan ibu bapa dalam memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!