Veteran ATM: ‘Tunggu sepuluh tahun, mungkin ramai telah tiada’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pelarasan pencen bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 perlu segera diselesaikan oleh kerajaan kerana ia melibatkan hak mereka yang termaktub dalam undang-undang.

- Advertisement -

Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sesi penggulungan baru-baru ini bersetuju bahawa setiap kali ada pelarasan gaji, pelarasan pencen juga mesti dilakukan.

Hal ini ujarnya, selaras dengan Seksyen 8(187) Akta Angkatan Tentera 1972 dan Peraturan-peraturan Angkatan Tetap 1982.

Namun begitu, beliau membidas kenyataan kerajaan yang mendakwa tiada pelarasan gaji dibuat pada tahun 2013, sedangkan beliau sendiri yang masih berkhidmat ketika itu terlibat dalam pelaksanaan gaji berkenaan.

“Setiap kali pelarasan gaji dibuat dalam ATM, pencen juga mesti diperbetulkan. Tetapi pada 2013, pelarasan pencen tidak dilaksanakan.

“Kerajaan hanya memberikan kenaikan dua peratus kepada pesara, yang menyebabkan jurang pencen antara veteran sebelum dan selepas 2013 semakin besar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. (Foto atas)

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan pada tahun 2024 yang melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada kakitangan awam dan anggota ATM tanpa pelarasan pencen kepada veteran sebelum 2013.

“Kenaikan ini menyebabkan jurang pencen makin lebar. Sepatutnya pencen minima veteran sebelum 2013 diselaraskan supaya setara dengan mereka yang bersara selepas 2013,” tegasnya.

Menurutnya, pada tahun 2013 terdapat sekitar 78,556 veteran yang bersara sebelum tarikh itu, namun pada 2022 jumlahnya menurun kepada 44,000 orang akibat faktor usia.

“Apa salahnya kerajaan tunaikan hak mereka sekarang? Kalau tunggu lima atau sepuluh tahun lagi, mungkin ramai yang telah tiada,” ujarnya.

Beliau juga membangkitkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan bahawa pencen veteran sebelum 2013 mesti disetarakan dengan mereka yang bersara selepas itu.

 Namun, beliau kecewa kerana pihak Peguam Negara membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan, yang melewatkan lagi penyelesaian isu ini.

“Setiap kali saya bangkitkan isu ini, kerajaan suruh tunggu keputusan mahkamah. Sampai bila? Bulan Mei nanti ada lagi veteran yang akan meninggal dunia sebelum dapat hak mereka,” katanya dengan nada kesal.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu ini melalui rundingan tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah.

Beliau juga membidas pihak yang mempertikaikan perjuangannya membela nasib veteran ATM.

“Veteran ni rakyat Malaysia juga, bukan pelarian Vietnam! Mereka berkorban jiwa raga, melawan Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara. Janganlah biarkan mereka hidup susah di usia tua,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan bertindak segera kerana mereka yang terkesan adalah golongan pesara berusia lebih 65 tahun, termasuk yang cacat akibat pertempuran.

“Kos sara hidup meningkat, kos kesihatan tinggi, ramai veteran yang cedera perang. Kenapa kerajaan masih berlengah? Jangan tunggu sampai semuanya tiada baru nak bertindak!” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!