Terengganu usaha atasi masalah muara cetek

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Masalah muara cetek dan kemudahan infrastruktur yang daif membelenggu industri perikanan Terengganu, menyebabkan ramai nelayan laut dalam beralih ke negeri lain untuk mendaratkan hasil tangkapan. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, banyak bot nelayan laut dalam kelas C dan C2 yang berdaftar di Terengganu terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain ekoran isu berkenaan.

“Antaranya mereka berpindah pangkalan ke Pelabuhan Tok Bali atau Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan walaupun mereka masih menangkap ikan di Perairan Terengganu.

“Dari jumlah lebih 70 buah bot laut dalam yang berdaftar di Terengganu hanya tinggal beberapa belas buah sahaja yang masih mendarat di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu asas ini bagi menarik semula bot-bot nelayan ke perairan Terengganu. 

“Isu asas ini perlu diselesaikan untuk kita menggamit kepulangan kembali bot-bot Terengganu supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri.

“Zaman Kerajaan PN di Putrajaya, kita telah berjaya mendapat kelulusan bernilai ratusan juta ringgit bagi tiga projek mendalamkan muara dan membina pemecah ombak yang sekarang ini sedang giat berjalan.

“Iaitu Muara Dungun kelulusan pada 26 September 2022, Muara Setiu, mangkuk pada 16 Januari 2022 dan Muara Merchang Marang pada 15 Disember 2021,” katanya.

Pelabuhan LKIM Chendering bakal dinaik taraf

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, Pelabuhan LKIM Chendering (PLC), yang pernah menjadi pusat pendaratan utama pada era 1990-an, kini mengalami kemerosotan akibat mendapan pasir dan infrastruktur yang usang. 

“Isu berkenaan menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di negeri Terengganu ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri dan LKIM telah mengangkat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja pemulihan PLC. 

“Setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya zaman Kerajaan Perikatan Nasional pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.

“Projek terdiri dari 2 fasa. Fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS. Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan.

“Manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.

“Projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa 2 dijadualkan siap Ogos 2031. Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!