KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) membangkitkan isu kelemahan penyelenggaraan sekolah yang masih berdepan masalah fasiliti asas walaupun kerajaan memperuntukkan RM64.1 bilion bagi sektor pendidikan.
“Tular di media sosial dan media arus perdana mengenai sekolah yang mempunyai kelas tanpa pintu, kerusi dan meja rosak, serta tandas yang uzur.
“Saya sendiri menerima laporan daripada ibu bapa tentang perabot sekolah yang rosak dan tidak mencukupi di awal sesi persekolahan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak sekolah masih terpaksa mencari dana sendiri untuk menampung keperluan asas seperti meja dan kerusi sedangkan peruntukan besar telah diberikan oleh kerajaan.
Menjawab isu tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menjelaskan bahawa kerajaan telah memperuntukkan lebih RM800 juta dalam tempoh dua tahun bagi tujuan penyelenggaraan serta naik taraf tandas di sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Tahun ini, kita juga menyediakan peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!