LKAN 2025: Bukti pengurusan SWCorp gagal

- Advertisement -

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan hari ini di Dewan Rakyat telah mendedahkan realiti mengejutkan mengenai pengurusan kewangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Liabiliti bersih SWCorp meningkat kepada RM140.15 juta pada 2023, melonjak daripada RM94.61 juta pada 2022, manakala kebergantungan kepada geran kerajaan mencecah RM1.545 bilion. Tambah membimbangkan, nisbah kecairan jatuh kepada 0.80, mencerminkan ketidakmampuan SWCorp untuk membayar hutang jangka pendek tanpa bantuan kerajaan.

Masalah ini bukan baru. Namun, apa yang membingungkan rakyat ialah kenapa kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih gagal membendung krisis ini walaupun amaran kewangan telah lama dikesan? Adakah kerajaan dan KPKT sekadar membiarkan SWCorp terus menjadi beban kepada rakyat tanpa ada usaha serius untuk mencari penyelesaian jangka panjang?

Pada tahun 2023, 69 peratus daripada pendapatan SWCorp datang daripada geran kerajaan, iaitu RM1.545 bilion, meningkat sebanyak RM46.63 juta (3.1%) berbanding tahun sebelumnya. Keadaan ini menunjukkan SWCorp tidak mempunyai model kewangan yang mampan, dan terus meminta dana daripada kerajaan setiap tahun.

Hakikatnya, pengurusan sisa pepejal di negara-negara maju seperti Jepun dan Jerman telah beralih kepada model penjanaan pendapatan melalui pelaksanaan cukai sisa, insentif kitar semula, serta perkongsian awam-swasta. Tetapi di Malaysia, SWCorp masih bertahan dengan model lapuk yang tidak menjamin kecekapan kewangan jangka panjang.

Lebih memalukan, laporan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mempunyai strategi kukuh untuk menjadikan SWCorp lebih berdikari dan kurang bergantung kepada wang rakyat. Bagaimana sebuah badan Persekutuan yang telah beroperasi sejak 2008 masih gagal menjana pendapatan sendiri selepas lebih satu dekad?

Ketidakcekapan dalam bayaran kepada syarikat konsesi

Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan bahawa SWCorp mempunyai tunggakan kepada syarikat konsesi sebanyak RM681.78 juta, yang menyebabkan ketidakseimbangan kewangan dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.

Lebih buruk lagi, terdapat perbezaan besar dalam baki akaun antara SWCorp dan syarikat konsesi, yang menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kewangan serta ketidakmampuan SWCorp untuk menyelesaikan isu akaun belum bayar secara sistematik.

Kelemahan ini menunjukkan dua perkara:

Pertama, KPKT gagal memastikan SWCorp mengurus kewangan secara berkesan, sehingga hutang kepada syarikat konsesi terus meningkat tanpa kawalan.

Kedua ialah tiada mekanisme kawal selia yang efektif untuk menghalang perjanjian perkhidmatan yang berat sebelah dan tidak memihak kepada rakyat.

Bagaimana syarikat-syarikat ini boleh terus menerima kontrak tanpa semakan mendalam terhadap prestasi kewangan dan kecekapan mereka? Ini adalah tanda kelemahan KPKT dalam mengawal selia penyedia perkhidmatan sisa pepejal, dan membuka ruang kepada pembaziran wang awam.

Sebahagian besar masalah SWCorp berpunca daripada kegagalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membayar sumbangan kepada SWCorp. Tunggakan ini menyebabkan defisit kewangan yang tinggi, namun kerajaan gagal mencari mekanisme untuk memastikan pembayaran dilakukan secara konsisten.

Untuk menangani masalah ini, KPKT sekadar mencadangkan pembayaran ansuran oleh PBT dan menyalurkan geran negeri secara terus, tetapi tidak menangani akar masalah iaitu ketidakcekapan dalam kutipan bayaran dan ketidakseimbangan antara kos operasi dan hasil pendapatan.

Ini menimbulkan persoalan besar: Adakah kerajaan hanya mahu menampal kebocoran dengan bantuan kewangan, atau benar-benar ingin menstruktur semula pengurusan SWCorp? Jika kerajaan tidak berani melaksanakan reformasi menyeluruh, masalah ini akan berulang setiap tahun, membebankan kewangan negara dan akhirnya rakyat.

Untuk menyelesaikan krisis SWCorp, kerajaan tidak boleh sekadar memberikan suntikan kewangan setiap tahun tanpa pelan penstrukturan semula yang jelas. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:

- Advertisement -

1. Mewajibkan Penjanaan Pendapatan Sendiri oleh SWCorp – SWCorp perlu mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan dengan memperkenalkan caj pemprosesan sisa pepejal industri dan sistem kutipan cukai sisa seperti di negara maju. Perkongsian awam-swasta (PPP) boleh diperluaskan bagi meningkatkan pendapatan, termasuk pelaburan dalam industri kitar semula yang mampu menjana keuntungan.

2. Reformasi Sistem Pembayaran PBT kepada SWCorp –  Kerajaan perlu menggubal undang-undang bagi mewajibkan PBT membayar sumbangan kepada SWCorp secara berkala, bukannya mengharapkan bayaran secara ansuran yang menyebabkan kelewatan dalam kewangan SWCorp. Pengenalan sistem pemantauan digital bagi memastikan setiap transaksi antara PBT dan SWCorp direkodkan secara telus.

3. Semakan Semula Kontrak Syarikat Konsesi – Audit penuh perlu dilakukan terhadap syarikat konsesi yang menerima kontrak perkhidmatan pembersihan awam, bagi memastikan mereka benar-benar memberikan perkhidmatan berkualiti dengan harga yang kompetitif. Kontrak hanya diberikan kepada syarikat yang mampu menjamin kecekapan operasi dan kos yang lebih rendah, bukannya sekadar mengekalkan pemain industri sedia ada tanpa semakan berkala.

4. Pemerkasaan SWCorp sebagai Entiti Berkebolehan – Pelaksanaan sistem pemantauan prestasi kewangan dengan mewajibkan SWCorp menerbitkan laporan kewangan suku tahunan yang boleh diakses oleh orang awam. Penyusunan semula tenaga kerja SWCorp bagi memastikan kecekapan dalam pengurusan kewangan dan operasi.



Hakikatnya, pendedahan Laporan Ketua Audit Negara terhadap SWCorp bukan sekadar angka kosong. Ini adalah bukti bahawa kerajaan telah gagal dalam mengurus salah satu aspek asas kesejahteraan rakyat – perkhidmatan pembersihan awam.

Jika kerajaan dan KPKT terus mengabaikan masalah ini dengan hanya menyalurkan geran tanpa tindakan konkrit, tidak mustahil SWCorp akan terus menjadi ‘lubang hitam’ yang menelan wang rakyat tanpa peningkatan kualiti perkhidmatan.

Kerajaan perlu berhenti bermain retorik dan mula mengambil langkah drastik untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan sisa pepejal negara. Jika tidak, rakyat akan terus dibebankan dengan perkhidmatan yang tidak setimpal dengan wang cukai yang mereka bayar setiap tahun.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!