KRT: ‘Kalau dulu 12.00 malam masih ada rakan-rakan’

Dato' Mohd Suhaimi Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dahulu cukup aktif dengan penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), kata Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi).

- Advertisement -

Namun kini, menurutnya perbezaan ideologi dan politik telah menyebabkan penglibatan belia semakin berkurangan dalam KRT.

“Kalau dulu pukul 12.00 malam Yang Berhormat berjalan di kampung masih ada rakan-rakan, anak-anak muda yang berkumpul.

“Sekarang sudah tidak ada Yang Berhormat. Apakah peranan kerajaan, kementerian yang berhormat untuk mengembalikan semula anak-anak muda ini atau apakah dengan pindaan cadangan pindaan rukun tetangga Akta Rukun Tetangga 2012 yang dalam cadangan setahun dan apakah perkembangan rang undang-undang tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Anak Dagang berkata, kementeriannya sedar bahawa sebahagian besar daripada lebih 8,000 KRT yang wujud tidak aktif.

“Kita difahamkan bahawa dalam 551 tidak aktif, bermakna mereka ini pun laporan pun tak dapat dibuat, aktiviti-aktiviti KRT pun tidak dapat dijalankan maka dalam, dalam hal ini kita dengan sedia upayanya dengan Jabatan Perpaduan pergi ke tempat mereka yang tidak aktif ini dan untuk memberi ceramah dan sebagainya supaya mereka diaktifkan lagi,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan asal, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan nilai Geran Rukun Tetangga dari RM6,000 kepada RM10,000 oleh kerana nilai geran setiap tahun yang diterima oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak mencukupi bagi melaksanakan program-program rukun tetangga. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!