KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa penentangan terhadap cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bukan bermaksud menolak usaha memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar, sebaliknya bagi memastikan kepentingan rakyat lebih terpelihara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah, usaha pembaharuan bandar telah giat dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih mesra rakyat dan bukannya memihak kepada pemaju.
“Mereka (pihak lawan) rujuk pelbagai jawapan dan dokumen apa saja yang ada perkataan ‘pembaharuan semula bandar ‘ tanpa melihat isi kandungan.
“Besar perbezaan antara Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar dibandingkan dengan akta baru yang dicadangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Ahmad Amzad turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan menurunkan ambang persetujuan pemilik strata bagi projek pembaharuan semula bandar, yang menurutnya bakal membuka ruang manipulasi oleh pemaju.
“Takkan sama keperluan mendapatkan persetujuan 100 peratus pemilik strata seperti dalam dokumen Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar dengan apa yang mahu dibuat oleh KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan).
“(KPKT) di bawah Nga Kor Meng Ahli Parlimen DAP yang mahu turunkan had ambang persetujuan sehingga ada yg cukup dengan persetujuan 51 peratus pemilik strata,” katanya.
Menurutnya, mencadangkan pindaan beberapa perkataan atau ayat dalam undang-undang sedia ada tidak sama dengan mencadangkan undang-undang khusus Akta Baharu, yang memerlukan penelitian terhadap setiap baris seksyen, perkataan, dan ayat bagi memahami implikasinya.
“Kita perlu undang-undang yang melindungi rakyat bukannya yang buka ruang manipulasi oleh pemaju,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!