Hukuman telalu rendah, salah guna logo halal berulang

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menggesa kerajaan memperketatkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo halal bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, terutamanya umat Islam. 

- Advertisement -

Menurutnya, hukuman yang dikenakan ketika ini masih terlalu rendah, menyebabkan isu berulang tanpa kesan pencegahan yang efektif. 

“Kita tahu memang itu bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK), bukan kuasa di bidang pihak JAKIM. JAKIM hanyalah dia meluluskan untuk pensijilan halal saja.

“Saya tengok hari ini banyak jenama-jenama yang menggunakan masjid, menggunakan logo-logo itu, sejauh manakah penguatkuasaan terhadap hal ini untuk diambil tindakan kerana banyak mengelirukan.

“Adakah ia bertentangan dan boleh diambil tindakan oleh pihak kementerian dalam hal ini?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.  

Armizan berkata, pihaknya sedang berbincang dengan JAKIM dan agensi berkaitan bagi memperketatkan peraturan serta menilai keperluan untuk meningkatkan hukuman sedia ada.

“Terkait dengan hukuman kesalahan yang dilakukan sememangnya ada syor untuk kita meningkatkan kerana ini terkait dengan isu yang amat sensitif dan penting khususnya untuk masyarakat Islam.

“Kita sedang berbincang dengan pihak JAKIM dan juga pihak-pihak yang berkenaan keperluan untuk kita mempertimbangkan akan ditingkatkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang terkait dengan penyalahgunaan logo halal ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!