KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang negara menunjukkan pertumbuhan pesat terutama dalam kalangan usahawan suri rumah sejak pandemik Covid-19.
Menurut Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), ramai suri rumah memanfaatkan platform digital seperti WhatsApp, Facebook, dan TikTok untuk memasarkan produk mereka.
“Pertumbuhan usahawan suri ini berkembang pesat sewaktu zaman Perintah Kawalan Pergerakan 1, 2, 3. Maknanya sewaktu zaman covid.
“Mereka banyak menggunakan e-dagang bagi menjual hasil tangan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor e-dagang negara juga pernah mencatat jualan sebanyak RM1 trilion pada tahun 2020 sekali gus membuktikan potensi besar dalam ekonomi digital.
“Jadi untuk meningkatkan lagi pencapaian apakah ada ataupun status terkini perancangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) untuk merangka dasar baru membantu perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) terutamanya usahawan suri dalam menerima guna pendigitalan dan memasarkan produk mereka seiring dengan teknologi kecerdasan buatan (AI),” soalnya.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kuskop, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan memberi perhatian kepada platform TikTok Shop yang telah menjalinkan kerjasama dengan TEKUN Nasional bagi membantu usahawan melalui kaedah penstriman langsung.
“Studio TikTok shop telah bekerjasama dengan Tekun Nasional dalam usaha untuk membantu usahawan mempelbagaikan pemasaran produk menerusi kaedah penstriman langsung melalui kerjasama di tiga karnival TEKUN Madani pada 2024.
“Bagi tahun 2025, satu kerjasama telah dimeterai antara dengan Tekun Nasional dan juga TikTok Shop Malaysia untuk membangunkan studio TikTok Shop Live Hub dan projek perintis yang telah dilancarkan di negeri Sabah dan akan diperluaskan di lagi beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan juga Kelantan,” katanya.
Dalam soalan asal, Muslimin meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan adakah ada usaha untuk menggalakkan pasangan isi rumah khususnya suri rumah melibatkan diri sebagai usahawan mikro terutama memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi terkini, latihan kemahiran dan kursus perniagaan. – HARAKAHDAILY 24/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!