BAITULMAQDIS: Israel berdolak-dalik dengan mencipta alasan baharu untuk menangguhkan pembebasan ratusan tahanan Palestin yang dirancang dilakukan semalam.
Rejim Zionis mendakwa kumpulan pejuang Hamas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, sekali gus menunjukkan kerapuhan perjanjian gencatan senjata Gaza.
Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu awal pagi ini, menyatakan bahawa Israel sedang menunggu untuk membebaskan 620 tahanan Palestin “sehingga pembebasan tahanan Israel seterusnya dipastikan dan tanpa melalui upacara memalukan.
Kenyataan ini dipercayai merujuk kepada cara penyerahan tahanan Israel oleh Hamas yang dikatakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Dalam proses pembebasan sebelum ini, tahanan dibawa ke pentas di hadapan penduduk Palestin dan berucap sebelum mereka dibebaskan.
Israel turut menuduh Hamas berulang kali melanggar gencatan senjata selama sebulan selepas kumpulan pejuang Palestin semalam, menyerahkan tahanan Israel sebagai sebahagian pertukaran yang diatur melalui gencatan senjata di Gaza.
Namun jurucakap Hamas, Abdul Latif Al-Qanou, mendakwa Israel melanggar gencatan senjata kerana Sabtu berlalu tanpa pembebasan rakyat Palestin seperti yang dirancang.
Hamas mendakwa Israel melakukan pencabulan sejak gencatan senjata bermula 19 Januari namun kumpulan pejuang itu masih bertahan sehingga kini. Hamas pada suatu peringkat berkata akan berhenti menyerahkan tahanan kerana tindakan Israel yang mungkir janji.
Warga Israel, Eliya Cohen, 27; Omer Shem Tov, 22; dan Omer Wenkert, 23, ditahan dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023,, diserahkan semalam di tengah Gaza kepada wakil Pertubuhan Palang Merah. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!