‘Saya nasihat, sudah-sudahlah berbohong’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti daripada terus berbohong mengenai pelbagai dakwaan yang dibuat terhadapnya.  

Tun M berkata demikian sebagai respons terhadap penafian Anwar bahawa beliau menghalang pemimpin luar daripada bertemu dengannya.  

“Dia boleh nafi, tetapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong. Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang setiap kali buka mulut mesti bohong?” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya hari ini.  

- Advertisement -

Beliau juga membidas Anwar kerana mengulangi dakwaan bahawa anaknya memiliki harta bernilai RM1.2 bilion.  

Menurut Tun M, dakwaan itu dibuat berdasarkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, namun ia tidak diceritakan secara penuh.  

“Azam Baki menyatakan bahawa jumlah harta itu dikira sejak 43 tahun lalu. Sedangkan Azam Baki juga yang menyata harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta,” katanya.  

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa SPRM tidak menunjukkan sebarang bukti beliau menyalahgunakan kuasa untuk mengkayakan anak-anaknya.  

“Dan seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti dari jadi Perdana Menteri,” terangnya.

Beliau juga menyatakan bahawa Anwar masih meneruskan dakwaan bahawa terdapat ‘kotak-kotak bukti’ menunjukkan beliau menyalahgunakan kuasa.  

“Dia terpaksalah teruskan dengan cerita berbilion-bilion ini. Hakikatnya, saya telah saman dia dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak pun yang dia buktikan,” katanya.  

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan bahawa ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, ahli keluarganya sendiri menerima saham, kontrak, dan pemberian kerajaan yang telah dilaporkan media serta dipamerkan di Dewan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) ketika itu.  

“Yang jelas ialah apabila dia buka mulut, dia bohong,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!