ARAU: Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2025 yang bermula semalam sehingga Ahad tetap diteruskan meskipun berdepan dengan keadaan bendang yang berselut tebal akibat hujan lebat.
Walaupun beberapa aktiviti terpaksa dipindahkan ke lokasi lain, kemeriahan pesta ikonik negeri Perlis ini tidak terjejas dengan 25 aktiviti tetap berlangsung, antaranya bola jaring bendang, kenduri rakyat, pertandingan tangkap itik, belon udara panas, kayuh basikal atas titi, serta pertunjukan wau helang Perlis.
Lokasi alternatif bagi beberapa aktiviti termasuklah Jan Cafe Sungai Batu Pahat, Yayasan Pok Dan Kassim, Pengkalan Asam, Dataran Lok 9, Kuala Perlis, dan kawasan bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, majlis perasmian yang dijadual disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dibatalkan, namun orang ramai tetap dijemput menghadiri kenduri rakyat yang meneruskan tradisi hidangan kurma daging secara gotong-royong.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meminta semua pihak menerima ketentuan Allah SWT dengan hati terbuka.
“Kita memang rasa dukacita tapi kita kena berlapang dada dengan ketentuan Allah SWT yang menurunkan hujan.
“Insya-Allah tahun depan kita cuba lakukan yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.
Pesta Angin Timur yang mula dianjurkan sejak 2011 terus menjadi tarikan utama negeri ini dengan kehadiran ratusan ribu pengunjung setiap tahun. – HARAKAHDAILY 22/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!